ISTIADAT PERNIKAHAN DIRAJA | Raja Muda Selangor bakal melangsungkan pernikahan pada 2 Oktober ini
MALAYSIA

Pentadbir tanah perlu lebih peka cabaran pengurusan jangka panjang - Johari Ghani

Shafiqa Azami 22/09/2025 | 04:25 MYT
Johari menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Hari Tanah Negara Ke-9 Tahun 2025 di Auditorium Jakim, Presint 3, Putrajaya hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Pentadbir tanah perlu lebih peka terhadap cabaran pengurusan tanah dalam jangka panjang kerana isu berkenaan bukan hanya berkaitan hak milik atau sempadan, tetapi juga status tanah pada masa depan.

Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tanah adalah aset strategik negara yang mampu mencetuskan pelbagai implikasi besar sekiranya tidak diurus dengan baik.

“Kalau dulu kita boleh mengambil mudah soal-soal tanah, hari ini negara telah bergerak ke hadapan. Kita kena lebih fokus dan ambil tahu soal-soal yang tidak pernah kita lalui sebelum ini,” katanya pada Sambutan Hari Tanah Negara 2025, di sini, hari ini.

Johari turut memberi amaran bahawa pengurusan tanah yang lemah boleh mencetuskan sentimen dalam kalangan masyarakat, malah lebih berisiko jika dipolitikkan pihak tertentu.

Sebagai contoh, Johari merujuk pembangunan semula flat PKNS di Kampung Baru, Kuala Lumpur yang mencetuskan perbalahan kerana wujud dua kumpulan penduduk, yang satu menyokong dan satu lagi menolak, projek tersebut.

“Apabila persetujuan tidak dapat dicapai, isu ini dimanipulasi dengan sentimen politik hingga memberi gambaran seolah-olah berlaku rusuhan yang memerlukan campur tangan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU),” jelasnya.

Johari turut menegaskan, tanah kerajaan yang tidak diurus secara teratur berisiko diceroboh sehingga menimbulkan masalah apabila pembangunan dirancang pada masa hadapan.

“Kadang-kadang ada tanah strategik tetapi kita tidak bersedia untuk membangunkannya kerana kekangan peruntukan atau agensi pelaksana belum bersedia.

“Apabila berlaku pencerobohan dan mereka menetap puluhan tahun (di sana), isu politik pula akan timbul apabila pembangunan hendak dimulakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan semua tanah di negara ini perlu didefinisikan dengan jelas bagi mengelakkan pertikaian serta manipulasi oleh pihak berkepentingan.






#JOHARI ABDUL GHANI #PKNS #pentadbir tanah #pengurusan tanah #Kg Baru