KUALA LUMPUR: Dengan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang bakal berlangsung dalam tempoh lebih kurang setahun daripada sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini akan terus memacu ekonomi negara ke tahap status 'negara maju' bagi membuktikan kepada rakyat beliau sekali lagi layak untuk menerajui negara.
Pensyarah Kanan Ekonomi di Fakulti Pengurusan Perniagaan, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban, Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, berbekalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang semakin mengukuh di bawah pentadbirannya, Anwar pastinya mahu sokongan berterusan rakyat untuk beliau memperkenalkan dan melaksanakan dasar-dasar baharu untuk mencapai sasaran tersebut.
Beliau menjelaskan, di bawah pemerintahan perdana menteri dalam tempoh 2022 hinggalah sekarang, Anwar berjaya dan mampu memancu negara Malaysia ke peringkat lebih tinggi berdasarkan lima faktor.
“Antaranya ialah jumlah kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang bertambah dari tahun ke tahun yang mana pada 2025 melonjak 41.2 peratus kepada RM65.9 bilion daripada RM46.7 bilion pada tahun sebelumnya.
“Kedua, ia boleh dilihat dengan kemasukan syarikat-syarikat besar seperti Google yang masuk untuk melabur ke Malaysia terutama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan juga teknologi hijau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan, ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2026 selepas mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Dalam laporan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Suku Ketiga 2026, DOSM memaklumkan, situasi itu disokong oleh prestasi positif merentas kesemua sektor ekonomi, kecuali perlombongan dan pengkuarian yang merekodkan penguncupan.
Menurut Bashir, faktor ketiga ialah dari segi kemampanan pelaburan domestik yang juga menunjukkan peningkatan.
Katanya, Malaysia mencatat RM218.5 bilion pelaburan diluluskan pada separuh pertama 2026, meningkat 11.7 peratus berbanding RM195.5 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.
Keempat, jelasnya, ia turut dapat dilihat dari segi bagaimana Perdana Menteri membuat lawatan hampir ke 60 buah negara dalam tempoh pemerintahannya sekali gus membuka ruang dan peluang bagi Malaysia berada di persada antarabangsa untuk dikenali sekali lagi.
“Dahulu pada zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Malaysia sudah dikenali, tetapi sekarang Anwar cuba bangkitkan balik Malaysia untuk dikenali sekali lagi dan menjadi jaguh Harimau Asia. Itu kita nampak usaha yang dibuat oleh Anwar.
“Kelima dalam tempoh pemerintahan lima tahun ini pun, banyak masalah ekonomi dunia berlaku termasuk perang, krisis minyak, isu antara China dan Amerika Syarikat (AS), tetapi Malaysia dapat menangani masalah ini dengan begitu baik dan secara diplomatik. Jadi memang Anwar ada aura beliau yang tersendiri,” katanya.