GADGETS

Pentagon, Anthropic bertelagah isu penggunaan AI untuk senjata, pemantauan domestik

Amanz 30/01/2026 | 05:45 MYT
Pentagon dilaporkan bertegas ia berhak menggunakan teknologi komersial mengikut keperluan ketenteraan, tanpa terikat pada polisi penggunaan yang ditetapkan Anthropic, asalkan ia masih mematuhi undang-undang AS. - Foto Amanz
TAHUN lalu Anthropic adalah antara syarikat kecerdasan buatan (AI) yang menerima kontrak $200 juta dari Pentagon untuk tujuan ketenteraan.

Tetapi menurut laporan Reuters, hubungan antara Pentagon dan Anthropic kini tegang kerana syarikat tersebut menghalang penggunaan AI mereka pada sistem penyasaran senjata autonomi dan pemantauan domestik.

Pentagon dilaporkan bertegas mereka berhak menggunakan teknologi komersial mengikut keperluan ketenteraan, tanpa terikat pada polisi penggunaan yang ditetapkan oleh Anthropic asalkan ia masih mematuhi undang-undang Amerika Syarikat.

Anthropic pula risau teknologi mereka digunakan untuk mengintip rakyat Amerika atau membantu menyasarkan senjata tanpa pemantauan manusia.

Akibat perbezaan pendapat ini, perbincangan kontrak antara Pentagon dan Anthropic telah terhenti.

Setakat ini Google dan xAI adalah dua syarikat yang telah disambung kontrak oleh Jabatan Peperangan Amerika (DoW) untuk menggunakan model AI mereka di bawah inisiatif GenAI.mil.

Menerusi inisiatif ini, AI akan dimanfaatkan bagi melakukan tugasan yang lebih cekap dan bersedia untuk peperangan selari dengan Pelan Tindakan AI yang diumumkan Rumah Putih.





#Anthropic #Pentagon #Amerika Syarikat #kecerdasan buatan