Pentas Dialog Anak Muda buka tirai petang ini

Israr Khalid
September 16, 2022 02:10 MYT
Pentas dialog ini adalah antara program di bawah inisiatif Youth X-tion Movement (YXM) oleh Astro AWANI untuk memperkasa generasi muda.
KUALA LUMPUR: Jika kita susuri sejarah peradaban dunia, banyak tamadun hebat bermula dengan daya dan upaya orang mudanya.
Pada peringkat usia di mana jiwa membara, raga penuh tenaga, anak mudalah yang menghunus pedang memacu pedati berjuang demi kesejahteraan hari ini dan hari esok yang lebih baik untuk agama, bangsa dan tanah airnya.
Golongan mudalah yang meneraju ketamadunan manusia, berbekalkan kebijaksanaan dari pengalaman golongan tua dan matlamat perjuangan untuk generasi seterusnya, sesungguhnya anak muda berupaya menggoncang dunia.
Mengambil semangat itu, Astro AWANI hadir dengan inisiatif yang dipanggil Youth X-tion Movement (YXM) untuk menggemakan suara anak muda hingga bergegar tampuk pimpinan supaya terjaga dari lamunan lama dan mendengar keperluan serta kehendak hari ini.
YXM menjadi satu gerakan yang mahu mengubah naratif terhadap golongan muda di mana tidak boleh lagi dirangkum sebagai satu. Satu dalam hal ini bermakna melihat golongan ini serba sama segalanya. Zaman itu sudah berlalu.
Perlu disedari bahawasanya anak muda itu pelbagai segmennya, tidak semua cenderung bidang profesional misalnya. Ada yang berupaya dalam perniagaan, ada yang terampil dalam kerja-kerja seni, ada yang hebat dalam tukang-menukang, dan bermacam-macam lagi bakat yang sebenarnya ada dan menggerakkan negara ini, secara kecil atau besar, sama ada kita sedar ataupun tidak.
Begitupun, jauh di sudut hati mereka, anak muda berkongsi aspirasi yang sama: mahu melihat kehidupan yang lebih bermakna buat dirinya, keluarganya serta masyarakatnya, dan bagaimana mereka dapat menyumbang ke arah matlamat itu.
Maka di bawah inisiatif YXM ini, pentas Dialog Anak Muda dibuka untuk menampilkan para pemeran dari pelbagai lapangan dalam masyarakat supaya kewujudan mereka diketahui, peranan mereka diangkat dan suara mereka didengari oleh mereka di atas sana.
Untuk episod pertama yang akan bersiaran hari ini, Dialog Anak Muda membawakan enam orang panel - tiga dari golongan ‘marhaen’ penggerak masyarakat dan tiga lagi dari golongan pemain muda politik, yang bakal menjadi pembuat dasar di masa hadapan.
Hos, Nailah Huda akan berbicara dengan pemandu “e-hailing” Muhammad Hafizi Hasimi; lepasan matrikulasi Nur Fathiehah Amiera; peniaga Muhamad Ariff Ahmad Hassanuddin serta Exco Putera UMNO Iman Norhizam; Exco Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK) Syamil Luthfi; dan Biro Mahasiswa Parti MUDA Aneesa Nizam.
Mahu dengar apa sebenar-benarnya isi hati anak muda hari ini? Tonton Dialog Anak Muda jam 4 petang ini serta ulangan pada jam 8 malam ini, tidak lain hanya di saluran 501 dan strim secara live di laman web juga Youtube Astro AWANI.
#Dialog Anak Muda #YXM #GerakSekarang #anak muda