KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bimbang dengan kenyataan baru-baru ini yang memberi gambaran bahawa pendatang asing tidak berdokumen atau tanpa izin, pelarian, dan pencari suaka memberi ancaman kepada keselamatan negara, dan menimbulkan risiko kepada kesihatan rakyat Malaysia.

Penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap komuniti-komuniti ini, sekali lagi, menyebabkan kekecohan dan Kerajaan diseru untuk mempertimbangkan semula pendekatan terhadap situasi ini, bagi mengelakkan pelanggaran berterusan prinsip hak asasi manusia atau memburukkan lagi krisis kesihatan awam semasa.

Memandangkan Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen 1951 Berkaitan Status Pelarian dan Protokol Pilihan 1967, undang-undang negara ini tidak membezakan antara pelarian, pencari suaka, dan pendatang asing yang tidak berdokumen. Pendatang asing tanpa dokumen sering disalah anggap sebagai isu keselamatan negara. Ssuhakam ingin menekankan bahawa perbezaan yang jelas perlu dibuat antara pendatang asing (termasuk yang tidak berdokumen) dan pelarian/pencari suaka.

Pekerja asing adalah mereka yang berpindah ke negara lain buat sementara waktu atas sebab-sebab ekonomi; manakala pelarian/pencari suaka adalah mereka yang tidak boleh atau tidak mahu pulang ke negara asal kerana takut dianiaya atas sebab-sebab bangsa, agama, kewarganegaraan, ahli kumpulan sosial tertentu, atau pendapat politik.

Ketiadaan status yang sah di sisi indang-undang merupakan faktor utama yang mengakibatkan pendatang asing tanpa dokumen, pelarian, dan pencari suaka terdedah kepada eksploitasi serta berisiko ditangkap dan ditahan. Suhakam ingin mengingatkan Kerajaan tentang komitmennya terhadap Perkara 56 Konsensus ASEAN mengenai Perlindungan dan Promosi Hak Pekerja Asing, untuk bekerjasama bagi menyelesaikan kes-kes pekerja asing yang menjadi tidak berdokumen bukan kerana kesalahan mereka sendiri.

Menakutkan warga asing tidak berdokumen melalui ancaman tangkapan dan penahanan adalah tidak produktif dalam usaha untuk mengatasi pandemik dan mencapai imuniti berkelompok dengan segera. Adalah penting untuk mengiktiraf peranan UNHCR serta pemberian kad UNHCR yang dapat memberi
perlindungan dan 'kesahan' kepada pelarian dan pencari suaka untuk berada di negara ini.

Kerajaan Malaysia mengutuk xenofobia di peringkat antarabangsa dan seharusnya melakukan perkara yang sama di negara ini. Kita perlu berusaha ke arah memurnikan nilai empati dan kemanusiaan yang sedia ada dalam kalangan rakyat Malaysia. Kerajaan harus komited untuk menghormati prinsip non-refoulment pelarian/pencari suaka, dan sebaliknya berjanji untuk melindungi dan menyediakan bantuan yang diperlukan oleh komuniti pendatang dan pelarian agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan bermaruah, mampu mencari kerja, mendapat akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan tempat tinggal selagi mereka berada di negara ini.