Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah mahu kesedaran mengenai jenayah seksual kanak-kanak menjadi agenda penting semua pihak khususnya dalam kalangan ibu bapa.

Raja Zarith bertitah, gesaan baginda itu bertujuan memastikan kanak-kanak dilindungi daripada sebarang ancaman penjenayah yang sentiasa mencari ruang dan peluang.

Titah baginda, didikan tentang perilaku buruk pedofilia itu perlu diketahui semua lapisan umur kerana setiap masyarakat berpotensi menjadi mangsa dan pemangsa.

"Masyarakat juga perlu mengambil langkah proaktif dalam menghentikan jenayah menjijikkan ini.

"Sejauh mana sesebuah masyarakat itu memelihara keselamatan kanak-kanak dan melindungi mereka melalui kesedaran, polisi dan undang-undang, membuktikan masyarakat itu menghargai dan menyayangi kanak-kanak," titah baginda.

Raja Zarith bertitah demikian ketika merasmikan Seminar Kesedaran Jenayah Pedofilia Peringkat Johor 2016 di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.

Baginda bertitah memastikan pelaku pedofilia disabitkan dengan kesalahan adalah usaha yang sukar meskipun kerajaan memperkenalkan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak pada 2009.

Justeru, baginda berharap agar ibu bapa atau penjaga kanak-kanak mempunyai ilmu dan pengetahuan berhubung panduan atau langkah pencegahan jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak.

Selain itu, Raja Zarith mahu mereka lebih peka terhadap persekitaran terutamanya dengan siapa kanak-kanak itu berkawan.

"Mencegah itu lebih baik daripada mengubati, dan saya menyarankan agar masyarakat mempunyai sikap ingin tahu terutama dalam hal berkaitan isu sosial dan memainkan peranan dan tanggungjawab bersama menangani jenayah dalam kalangan kanak-kanak," titah baginda.

Raja Zarith bertitah faktor kelemahan hubungan komuniti di kawasan seperti rumah pangsa misalnya, sering kali dianggap sebagai 'tarikan' kepada pelbagai jenis jenayah, yang akhirnya menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah.

Justeru, baginda menyeru masyarakat agar memperkukuh hubungan komuniti setempat dengan menanam rasa tanggungjawab, sikap prihatin, serta rasa sayang antara satu sama lain dalam membanteras pelbagai isu perlakuan sosial dan jenayah.

-- BERNAMA