KUALA LUMPUR: Usaha penubuhan kumpulan insurans Asean yang menyokong dasar tenaga boleh baharu kerajaan dalam blok serantau hampir menjadi kenyataan susulan pemeteraian perjanjian persefahaman (MOU) oleh ASEAN Reinsurance Working Committee (ARWC) pada Jumaat.

Di bawah MOU itu, ARWC berikrar untuk menyokong dalam kapasiti taja jamin serta menetapkan syarat penubuhan ASEAN Renewable Energy Pool (AREP) di bawah pengawasan Majlis Insurans ASEAN, kata Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re) dalam satu kenyataan.

Idea pembentukan AREP pada awalnya dicadangkan oleh Malaysian Re, pengerusi bagi ARWC untuk penggal 2021-2022, semasa mesyuarat ARWC keempat pada 15 Okt 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Re Ahmad Noor Azhari Abdul Manaf berkata terdapat potensi cabaran berkaitan kapasiti dan kepakaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)/tenaga boleh baharu (RE) dan kompleksiti solar, angin dan sumber tenaga boleh baharu yang lain.

Cabaran ini berpotensi menyebabkan satu syarikat insurans mungkin sukar untuk menguruskan risiko kewangan yang terlibat dalam usaha niaga ini.

"Oleh itu, terdapat keperluan untuk sekumpulan syarikat mengumpulkan sumber mereka dan bersatu untuk membentuk kumpulan insurans bagi menaja jamin risiko yang berkaitan dengan sumber tenaga boleh baharu ini," katanya.

MOU itu, yang ditandatangani pada Mesyuarat Pengawal Selia Insurans ASEAN ke-26 dan Mesyuarat Majlis Insurans ASEAN ke-49 pada Jumaat, menunjukkan komitmen bersama daripada ahli ARWC yang mengambil bahagian di bawah seliaan Majlis Insurans ASEAN untuk bekerjasama dan menerajui industri insurans (semula) ASEAN untuk menyokong usaha negara ASEAN mencapai sasaran pelepasan sifar bersih dan menangani perubahan iklim dengan berkesan.

Ahli ARWC yang mengambil bahagian untuk kerjasama ini ialah Malaysian Re (sebagai pengurus kumpulan), PT Reasuransi Indonesia Utama (Persero), Vietnam National Reinsurance Corporation (VINARE), Cambodian Reinsurance Company, Thai Reinsurance Public Company Limited dan National Reinsurance Corporation of the Philippines (Nat Re).

Malaysian Re adalah penanggung insurans semula negara terbesar di rantau ASEAN mengikut premium bertulis kasar dan aset.

-- BERNAMA