[TERKINI] Sistem Pendidikan Malaysia Berubah Bermula 2027: Darjah Satu Umur 6, Penilaian Murid Tahun 4 & Tingkatan 3 – Ini Perkara yang Ibu Bapa WAJIB Tahu
MALAYSIA

Penubuhan Ombudsman bakal perkukuh tadbir urus, skor CPI negara - Pengerusi EAIC

Bernama 20/01/2026 | 20:15 MYT
Ismail menyarankan agar dapatan siasatan dan syor yang dikemukakan oleh Ombudsman Malaysia kelak dimanfaatkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib. - Foto fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Penubuhan Ombudsman Malaysia dijangka memberi impak positif terhadap pengukuhan tadbir urus dan menyokong peningkatan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara, kata Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Tan Sri Ismail Bakar.

Kenyataan EAIC memaklumkan perkara itu telah disembah maklum oleh Ismail kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika mengadakan kunjungan sembah menghadap di Istana Negara pada Selasa.

Menurut EAIC, Ismail menyuarakan keyakinannya kepada Seri Paduka Baginda bahawa mandat dan bidang kuasa yang menyeluruh terhadap semua agensi perkhidmatan awam merupakan kunci bagi memastikan Ombudsman Malaysia berkesan, berupaya menerima dan menyelesaikan aduan selain menutup sebarang ruang kepada salah tadbir, salah laku serta pelanggaran integriti.

"EAIC yakin kerjasama antara badan pemantau seperti Ombudsman Malaysia dengan semua agensi penguatkuasaan akan membentuk ekosistem tadbir urus yang lebih kukuh, meningkatkan keyakinan rakyat serta menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan skor CPI Malaysia secara berterusan," menurut kenyataan itu.

EAIC turut memaklumkan Ismail menyarankan agar dapatan siasatan dan syor yang dikemukakan oleh Ombudsman Malaysia kelak dimanfaatkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib.

"Pendekatan ini dapat mengelakkan pertindihan proses siasatan, menjimatkan masa dan sumber, serta mempercepat tindakan tatatertib terhadap pegawai awam yang terlibat sekali gus menyokong sistem penguatkuasaan yang lebih efisien dan berkesan," menurut EAIC.

-- BERNAMA




#penubuhan Ombudsman #EAIC #skor CPI negara #Indeks Persepsi Rasuah