Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Penubuhan REENAS: Pastikan keuntungan nadir bumi dirasai Persekutuan dan Negeri - Khairil Nizam

Firdaus Azil 13/08/2025 | 11:59 MYT
Khairil Nizam berkata, REE berpotensi jadi sumber utama pendapatan negar, simbol kedaulatan ekonomi yang memerdekakan negara daripada kuasa luar. - Facebook Ir. Ts. Khairil Nizam
KUALA LUMPUR: Penubuhan entiti tunggal dengan cadangan nama Rare Earth National Corporation (REENAS) untuk mengawal selia unsur nadir bumi dilihat seperti game changer yang mampu mengubah landskap ekonomi negara.

Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin, yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat berkata, dengan potensi REE yang dimiliki, ia boleh menjadi bargaining chip kepada Malaysia dalam menghadapi geo-ekonomi dan perang dagang dunia.

Selain itu, beliau berkata, REE juga berpotensi menjadi sumber utama pendapatan negara dan simbol kedaulatan ekonomi yang memerdekakan negara daripada kebergantungan kepada kuasa luar.

“Oleh yang demikian, RMK13 perlu menjadi satu anjakan paradigma hubungan Kerajaan Pusat dan Negeri dalam melaksanakan cooperative dan fiscal federalisme.

“Segala tindakan yang berkait dengan pengurusan sumber nadir bumi ini, bermula dengan kewujudkan Akta REE, pindaan Rang Undang-Undang yang berkaitan, model perniagaan REENAS sehinggalah pembahagian keuntungan, wajib melibatkan Kerajaan Negeri,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sewaktu Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Rabu.

Pada 7 Ogos lepas, Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mencadangkan penubuhan REENAS, dengan mengambil model Petronas sebagai inspirasi.

Beliau berkata, entiti tersebut harus ditubuhkan sebagai badan milik penuh Kerajaan Persekutuan, tetapi mempunyai kerjasama erat dengan Kerajaan-kerajaan Negeri yang mempunyai sumber tersebut.

Dalam pada itu Khairil Nizam yang mempunyai pengalaman dalam Petronas berkata, negeri wajar diberikan pulangan hasil sehingga 30 peratus kerana unsur nadir bumi ini berada di bawah bidang kuasa Kerajaan negeri yang tertakluk dalam Jadual Kesembilan Kerajaan Persekutuan.

“Ini secara langsung akan mengurangkan kebergantungan fiskal Kerajaan negeri kepada Kerajaan Pusat dan membolehkan Kerajaan Negeri berdikari tanpa dipengaruhi sentimen politik, birokrasi, ketirisan dan kelewatan agensi pusat,” katanya lagi.





#Khairil Nizam Khirudin #REE #unsur nadir bumi #Dewan Rakyat #RMK13