Penumpang warga Jerman buat kecoh dalam pesawat MH179 dipenjara sebulan

Astro Awani
Mei 13, 2015 08:06 MYT
Dietmar Ross, 54, mengaku bersalah selepas faham dengan pertuduhan yang dibacakan sebanyak dua kali oleh jurubahasa mahkamah. - Gambar Hiasan
Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan ke atas seorang lelaki warga Jerman selepas dia mengaku bersalah atas dakwaan membuat gangguan dalam pesawat MAS, Sabtu lalu.
Dietmar Ross, 54, mengaku bersalah selepas faham dengan pertuduhan yang dibacakan sebanyak dua kali oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris di hadapan hakim Aizatul Akmal Maharani .
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Uma Devi Subramaniam manakala tertuduh diwakili oleh Zaflee Pakwanteh.
Pada 10 Mei lalu, pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH179 dalam perjalanan ke Colombo, Sri Lanka terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan gangguan yang ditimbulkan seorang penumpang yang didakwa mabuk.
BACA: Penumpang mabuk paksa MH179 patah balik ke KLIA
BACA: MH179: Netizen cemas, syukur pesawat selamat mendarat
Dalam kenyataan ini, MAS mengesahkan komander penerbangan membuat keputusan bagi itu bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang lain dalam pesawat berkenaan selepas penumpang itu mula menganggu kru penerbangan.
Oleh kerana saiz badan penumpang berkenaan yang besar, penumpang-penumpang lain terpaksa membantu anak-anak kapal daripada gangguan penumpang terbabit
Penumpang itu kemudiannya telah di serahkan kepada pihak berkuasa sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA, menurut kenyataan itu.
#Jerman #mabuk #MAS #MH179