MALAYSIA

Penunggang basikal ada hak di jalan raya, polis diminta siasat ancaman - PKBM

Bernama 09/07/2025 | 12:15 MYT
Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata dalam hal ini, penunggang basikal turut mempunyai hak di bawah undang-undang sebagai kumpulan pengguna jalan raya di negara ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meminta polis menjalankan siasatan sewajarnya terhadap ugutan serta ancaman kepada penunggang basikal sehingga ada hantaran di media sosial yang menghasut pengguna jalan raya supaya melanggar mereka secara sengaja.

Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata dalam hal ini, penunggang basikal turut mempunyai hak di bawah undang-undang sebagai kumpulan pengguna jalan raya di negara ini.

"Hantaran berkenaan adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan bersifat ugutan jenayah yang mengancam nyawa ribuan penunggang basikal yang menggunakan jalan raya awam setiap hari.

"Penunggang basikal juga berhak sebagai satu kumpulan pengguna jalan raya dan apa-apa kemalangan yang disengajakan kepada mana-mana penunggang basikal menggunakan kenderaan bermotor boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata PKBM memandang serius insiden tular membabitkan pertelingkahan antara beberapa penunggang basikal dan pemandu bas baru-baru ini.

Beliau berkata aktiviti berbasikal dibenarkan di jalan raya awam kecuali terdapat larangan khusus selepas proses pewartaan seperti di lebuh raya atau melalui papan tanda yang melarang aktiviti berkenaan dan PKBM dari semasa ke semasa akan memantau insiden seumpama itu.

"Semua pihak diharap dapat bertenang dengan tidak mengambil tindakan di luar undang-undang dan PKBM pada masa yang sama sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan sebagai pertimbangan utama di dalam semua aktiviti berbasikal, sama ada untuk tujuan sukan atau riadah," katanya.

Amarjit berkata bagi aktiviti berbasikal di jalan raya awam, semua penunggang perlu mematuhi peraturan lalu lintas serta mengambil langkah keselamatan seperti memakai topi keledar diiktiraf, menggunakan lampu di hadapan dan belakang basikal, memakai pakaian berwarna terang dan mudah dilihat, serta berkayuh secara satu barisan dari depan ke belakang atau single file di laluan motosikal sekiranya ada atau di bahu jalan.

"PKBM juga menyarankan penunggang basikal supaya sentiasa mengambil pendekatan bersifat berwaspada untuk memitigasi risiko kemalangan dengan kenderaan bermotor, lebih-lebih lagi di laluan yang digunakan secara lazim oleh kenderaan berat dan menasihati penunggang basikal untuk tidak bertindak agresif serta bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Terdahulu, tular satu video memaparkan pertelingkahan antara sekumpulan penunggang basikal dengan seorang pemandu bas dipercayai berkaitan insiden menghalang laluan di Kuala Selangor sebelum ditenangkan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

Polis setakat ini telah menerima laporan daripada pemandu bas berkenaan dan seorang daripada kumpulan pengayuh basikal terbabit.

-- BERNAMA

#penunggang basikal #hak jalan raya #PKBM #Amarjit Singh Gill