Penunggang dan dua pembonceng motosikal maut dalam kemalangan di Song, Kapit

Bernama
Julai 15, 2023 16:58 MYT
Seorang penunggang motosikal serta dua pemboncengnya maut di tempat kejadian apabila motosikal dinaiki terlibat dalam nahas jalan raya.
SIBU: Seorang penunggang motosikal serta dua pemboncengnya maut di tempat kejadian apabila motosikal dinaiki terlibat dalam nahas jalan raya setelah bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Embuau Song, Kapit petang tadi.
Menurut kenyataan Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak hari ini, ketiga-tiga mangsa maut iaitu Joshua Richard, 38, Jimbai Ujam, 57, dan Sempun Lau, 51 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kenyataan itu memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 5.38 petang dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song telah digerakkan ke lokasi.
Sementara itu, jurucakap BBP Song ketika dihubungi berkata berdasarkan maklumat diperoleh, mangsa yang sedang dalam perjalanan dari Pekan Song menuju ke arah Kapit bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
--BERNAMA
#kemalangan #Jalan Embuau Song #motosikal #Kapit