MALAYSIA

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut digilis treler

Sinar Harian 29/06/2025 | 00:50 MYT
Dalam kejadian di KM254.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Seremban pada Sabtu, seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi cedera parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat digilis treler. - Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas digilis sebuah treler di Kilometer 254.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini semalam.
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu berlaku selepas mangsa terjatuh ketika cuba mengelak sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang membrek secara mengejut di lorong kecemasan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu di lorong kecemasan telah membrek secara mengejut.
“Pacuan empat roda tersebut dipandu seorang lelaki berusia 65 tahun bersama seorang penumpang wanita berusia 54 tahun yang bergerak dari arah Rembau menuju ke Shah Alam.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu pacuan empat roda itu yang berada di lorong kecemasan telah membrek secara mengejut dan menyebabkan motosikal jenis BMW yang ditunggang mangsa yang berada di belakangnya cuba mengelak, namun terlanggar bahagian cermin lampu belakang kenderaan tersebut lalu terjatuh dan digilis sebuah treler,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sebuah lagi motosikal yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak dan turut melanggar bahagian belakang pacuan empat roda tersebut.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, penunggang motosikal jenis BMW berusia 51 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan lorong kecemasan melainkan apabila lorong pintar (smart lane) telah diaktifkan.
Tambahnya, selain sistem smart lane, lorong kecemasan hanya untuk kegunaan kenderaan dalam kecemasan sahaja dan tiada kenderaan boleh menggunakan lorong tersebut kecuali dalam kes kecemasan yang tertakluk di bawah Kaedah 53(1) LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959. - Sinar Harian
#maut digilis treler #Lebuhraya Utara-Selatan #penunggang motosikal maut #motosikal berkuasa tinggi