LENGGONG: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dikatakan merempuh sebuah kereta berhampiran sebuah stesen minyak di Lawin Selatan, dekat sini, malam tadi.

Kemalangan kira-kira jam 8.15 malam itu turut menyebabkan pembonceng motosikal dan pemandu kereta mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, setakat ini, maklumat mengenai semua mangsa belum diperolehi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 8.27 malam.

“Terdapat tiga mangsa, satu lelaki dan satu wanita dewasa pembonceng motosikal mengalami kecederaan manakala satu lelaki dewasa penunggang motosikal maut di lokasi kejadian dan disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut jurucakap itu lagi, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong yang tiba telah memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera.

Katanya, mangsa yang maut pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Hamdan Abdullah tamat jam 9.55 malam.