MALAYSIA

Penunggang motosikal maut dihempap pokok tumbang

Bernama 06/12/2025 | 11:15 MYT
Mangsa berusia 22 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
MELAKA: Seorang penunggang motosikal lelaki maut manakala seorang pemandu kereta wanita cedera selepas dihempap pokok tumbang di Jalan Tun Razak-Ayer Keroh.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh PBK II Iswandy Ariffin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.30 petang dan jentera tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar berlaku kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta yang dipercayai berpunca daripada pokok tumbang.

"Pasukan bomba menjalankan kerja mengeluarkan mangsa yang terhempap di bawah pokok berkenaan selain melakukan pemotongan dan pembersihan pokok tumbang sehingga selesai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa berusia 22 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan manakala pemandu kereta jenis Perodua Myvi berusia 19 tahun yang mengalami kecederaan dibawa ke hospital.

Katanya operasi disertai lapan anggota itu tamat sepenuhnya pada 3.18 petang.

-- BERNAMA


#Melaka #Pokok tumbang #penunggang motosikal maut #Jalan Tun Razak-Ayer Keroh