SETIU: Seorang lelaki warga Indonesia berstatus pemastautin tetap maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar sebatang pokok tumbang di Kilometer 42, Jalan Kampung Merang, Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kota Bharu di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam, mangsa, Darman Khamis, 68, yang bekerja sebagai buruh binaan dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Kampung Bari Besar.
Ketua Polis Daerah Setiu Supt Zahril Asri Mohd Zain berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu daripada Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu kira-kira 12.10 tengah malam.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang tiba di lokasi kejadian telah melanggar sebatang pokok yang tumbang di sebelah kanan jalan sehingga menghalang laluan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Pejabat Trafik IPD Setiu atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Thaufiq Ahmad Azudin di talian 011-26069043 bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA