MALAYSIA
Penuntut IKM maut, hasrat bertemu keluarga tidak kesampaian

Barangan peribadi Mohamad Zuhaikal diserahkan kepada keluarganya di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu. - Gambar Bernama
KOTA KINABALU: Hasrat seorang penuntut Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu pulang ke kampung untuk makan stimbot beramai-ramai bersama ahli keluarga tidak kesampaian apabila maut dalam nahas yang berlaku di Jalan Gayang, Tuaran semalam.
Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy, 20, yang terkorban bersama empat rakannya, meluahkan hasratnya itu kepada ahli keluarganya di Tawau melalui panggilan video pada 1 Sept lepas.
Mohamad Zuhairy Mohd Zaidy, 28, berkata adik keduanya daripada enam beradik itu juga adalah harapan keluarga untuk mengubah nasib mereka namun kini hanya tinggal impian.
"Keluarga kami meletak harapan yang tinggi kepadanya... macam-macam dia rancang dan ingin buat selepas tamat pengajian di IKM."Dia merancang untuk bekerja sendiri dan menjalankan perniagaan dengan mak cik saya tetapi sekarang hanya perancangan sahaja yang tinggal... itu yang buat kami sedih," katanya hiba ketika ditemui Bernama di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth di sini hari ini.
Mohamad Zuhairy berkata adiknya adalah seorang pelajar yang pintar malah pernah mewakili IKM dalam pertandingan Worldskills Malaysia.
Dia turut menyifatkan Mohamad Zuhaikal sebagai anak yang baik kerana tidak pernah mengadu kepada ibu bapa mereka meskipun wang belanjanya hanya tinggal RM1.
"Pernah mak cik saya tergerak hati untuk kirimkan duit belanja dan ketika itu, duitnya hanya tinggal RM1. Kalau mak cik saya tidak kirim duit, memang dia diam-diam, tidak beritahu kami dia tiada duit," katanya sebak.
Pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik IKM Sadan Sabri, 21, yang juga rakan Mohamad Zuhaikal dan Harianto Anuar, 20, yang turut terkorban dalam nahas itu, menyifatkan kedua-duanya adalah sahabat syurga.
Sadan berkata pada Isnin lepas ketika pulang dari bersiar-siar, dia melihat Mohamad Zuhaikal dan Harianto berpelukan sesama sendiri sambil berjanji untuk terus bersahabat biarpun selepas tamat pengajian di IKM.
"... tetapi tidak sangka mereka maut dalam kemalangan," katanya sambil menambah Mohamad Zuhaikal juga tidak kedekut untuk berkongsi ilmu dengan rakan-rakan termasuk pelajar senior sepertinya dan kehilangan beliau amat dirasai.
Erfan Hermanto Ismanto, 23, pula berkata dia bersama rakan lain telah tiba di tapak perkhemahan di Kota Belud pada Khamis manakala Mohamad Zuhaikal dan yang lain sepatutnya tiba semalam.
Dia berkata kehilangan Mohamad Zuhaikal pastinya amat dirasai kerana Allahyarham adalah seorang yang periang dan suka menghiburkan rakan-rakan sekelas.
Nahas pada 2.09 petang itu menyebabkan lima penuntut lelaki maut apabila kenderaan pelbagai guna yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori treler.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami