Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Penuntut kolej ditemui mati tergantung: Polis siasat kes bunuh, suspek mungkin individu dikenali

Umavathi Ramayah 18/08/2025 | 02:35 MYT
Wan Azlan Wan Mamat berkata, setakat ini polis sudah merakam keterangan 12 individu bagi membantu siasatan. - Foto fail/BERNAMA
SUBANG JAYA: Polis percaya kes kematian seorang penuntut kolej wanita berusia lingkungan 20-an yang ditemui tergantung pada kipas siling di ruang tamu kediamannya di USJ 2/1, Khamis lalu, merupakan kes bunuh yang berkemungkinan dilakukan oleh individu yang dikenali mangsa.


Ringkasan AI
  • Mayat pelajar wanita berusia 20-an ditemui tergantung pada kipas siling di ruang tamu rumah keluarganya di USJ 2/1, Subang Jaya - bedah siasat sahkan mangsa dicekik secara manual.
  • Tiada barang hilang, mangsa dipercayai dibunuh oleh individu dikenali, polis telah ambil keterangan 12 saksi dan siasatan masih berjalan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, orang awam diminta tidak buat spekulasi dan digesa tampil bantu siasatan jika ada maklumat.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata siasatan awal mendapati tiada harta benda dilaporkan hilang, sekali gus menguatkan kemungkinan suspek mempunyai hubungan rapat dengan mangsa.

“Kita percaya pembunuhan ini dilakukan oleh individu yang dikenali mangsa,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Setakat ini, polis telah merakam keterangan daripada 12 individu bagi membantu siasatan, namun motif kejadian masih belum dikenal pasti.

Menurut laporan awal, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.55 pagi daripada seorang lelaki yang memaklumkan anak perempuannya ditemui tergantung di kipas siling rumah mereka.

Bagaimanapun, hasil bedah siasat oleh pakar patologi Hospital Serdang mendedahkan bahawa punca kematian adalah akibat pendarahan di sekitar tulang leher (hyoid bone), serta kecederaan pada otot dan tulang yang konsisten dengan perbuatan cekik secara manual.

Susulan penemuan tersebut, kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.






#bedah siasat #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #penuntut mati tergantung #mati dicekik