[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Penuntut warga Rusia didenda RM10,000 rakam filem di pawagam

Bernama 25/11/2025 | 15:45 MYT
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan pengurus pawagam melihat tertuduh yang berada dalam pawagam itu mengeluarkan telefon bimbit dan merakam ketika filem "Now You See Me 3" ditayangkan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Rusia didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merakam tayangan filem menggunakan telefon bimbitnya di sebuah pawagam pusat beli-belah di Bukit Jalil.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki warga Rusia didenda RM10,000 kerana merakam tayangan filem di pawagam pusat beli-belah di Bukit Jalil menggunakan telefon bimbitnya.
  • Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Golod Artem, 21 tahun, penuntut universiti swasta; lelaki itu membayar denda berkenaan.
  • Pengadu melihat tertuduh merakam tayangan filem "Now You See Me 3" di pawagam dan pemeriksaan CCTV mendapati tertuduh melakukan perbuatan serupa sebelum ini.


Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas Golod Artem, 21, yang juga penuntut sebuah universiti swasta dan sekiranya lelaki itu gagal membayar denda, dia boleh dikenakan hukuman penjara 10 bulan. Tertuduh membayar denda itu.

Lelaki itu didakwa menggunakan telefon bimbitnya untuk merekod sebahagian tayangan filem "Now You See Me 3" di sebuah pawagam pusat beli-belah di Bukit Jalil, pada 2.30 petang, 13 Nov lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 43A(1) Akta Hak Cipta 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan pengurus pawagam melihat tertuduh yang berada dalam pawagam itu mengeluarkan telefon bimbit dan merakam ketika filem "Now You See Me 3" ditayangkan.

Selepas melakukan pemantauan selama kira-kira 45 minit, pengadu masuk ke dalam pawagam dan berdiri di belakang tertuduh bagi mengesahkan perbuatan tersebut.

Setelah yakin tertuduh sedang merakam, pengadu membawa tertuduh ke ruang lain dan pemeriksaan dalam galeri telefon bimbit tertuduh menemukan sebahagian babak filem "Now You See Me 3" berdurasi 31 minit yang sedang ditayangkan dalam sesi tayangan perdana.

Pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh pernah melakukan perbuatan serupa pada 9 Okt lepas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam perlu diutamakan daripada kepentingan peribadi.

"Tertuduh sedar bahawa merakam dalam pawagam adalah satu kesalahan. Sebagai warga asing, dia seharusnya menghormati undang-undang negara ini," katanya.

Peguam Kanesan Subrananiam pula memohon hukuman ringan atas alasan rakaman tersebut dibuat untuk tujuan peribadi dan bukan bagi tujuan komersial dan sejak anak guamnya direman pada 13 Nov, dia tidak dapat menghadiri kuliah.

-- BERNAMA

#CCTV #Mahkamah Sesyen #warga asing #hukuman setimpal