MALAYSIA
Penurunan harga RON95, kadar tol kekal beri manfaat golongan M40

Penurunan harga petrol RON95 RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak serta pengekalan kadar tol membabitkan 10 konsesi lebuh raya diumumkan kerajaan semalam bakal memanfaatkan golongan M40. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Penurunan harga petrol RON95 RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak serta pengekalan kadar tol membabitkan 10 konsesi lebuh raya diumumkan kerajaan semalam bakal memanfaatkan golongan M40.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana pengguna yang paling ramai menggunakan kenderaan termasuk kereta dan melalui jalan bertol adalah golongan M40.
"Dan ini kalau tengok RON 95, kalau tengok RON95, RM1.99 dan beberapa langkah lain umpamanya, apa lagi untuk yang M40. Tol, kalau B40, kebanyakannya boleh jadi pakai motosikal, (penggunaan) minyaknya kecil. M40, kebanyakannya motokar (kereta) dan penggunaan minyak itu lebih tinggi.
"Jadi M40 sekarang ini kita timbangkan B40 sahaja, biasalah kita mula bukan dari B40, lebih rendah lagi. Kita mula dengan kemiskinan tegar. Selesai bab itu baru naik B40, sekarang bantuan naik untuk M40," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kekeliruan membabitkan maklumat mengenai bantuan kerajaan berpunca daripada kelemahan komunikasi dalam penyampaian.
Semalam, Perdana Menteri antara lain mengumumkan penyasaran subsidi harga petrol RON95 yang diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia dengan perinciannya akan diumumkan pada hujung September nanti.
Beliau berkata, langkah itu tentunya bakal memberi manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.
Semalam, kerajaan turut bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol melibatkan 10 lebuh raya tahun ini bagi memastikan rakyat terus menikmati kadar sedia ada.
Kata Anwar, keputusan itu dibuat walaupun pelarasan kadar tol sepatutnya berlaku mengikut perjanjian konsesi.
Menurut beliau, antara lebuh raya yang terlibat termasuk Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami