Skip to main content

Malaysia

Penurunan paras air sungai isyarat awal krisis keselamatan air - Pakar

JELI, 11 April -- Keadaan sungai Pergau yang mula kering ketika tinjauan baru-baru ini.  Walaupun belum mencapai tahap krisis berskala penuh, fenomena penurunan paras air di beberapa sungai di Kelantan akibat pengurangan hujan ketika ini wajar dilihat sebagai isyarat awal kepada tekanan terhadap sistem keselamatan air.  Ketua Kumpulan Penyelidikan Ketahanan Iklim, Air dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Dr Mohamad Faiz Mohd Amin berkata berdasarkan pemantauan
- Gambar hiasan/BERNAMA

JELI: Walaupun belum mencapai tahap krisis berskala penuh, fenomena penurunan paras air di beberapa sungai di Kelantan akibat pengurangan hujan ketika ini wajar dilihat sebagai isyarat awal kepada tekanan terhadap sistem keselamatan air.

Ketua Kumpulan Penyelidikan Ketahanan Iklim, Air dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Dr Mohamad Faiz Mohd Amin berkata berdasarkan pemantauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Golok baru-baru ini merekodkan paras air sekitar tiga hingga empat meter.

Advertisement

Beliau berkata walaupun terdapat tanda pemulihan sementara susulan taburan hujan di kawasan hulu seperti di Jeli dan Gua Musang, keadaan itu masih memerlukan pemantauan rapi sekiranya tempoh kering berterusan.

“Jika kemarau berpanjangan dan aliran sungai terus menurun, paras air boleh jatuh di bawah tahap muka sauk, iaitu lokasi pengambilan air oleh loji rawatan.

“Keadaan ini akan memberi tekanan kepada operasi loji rawatan air dan berpotensi menjejaskan bekalan air mentah kepada pengguna,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas fenomena air sungai yang kelihatan lebih jernih dan kehijauan, beliau menjelaskan ia berpunca daripada perubahan fizikal sistem sungai akibat pengurangan aliran.

“Apabila hujan berkurangan, aliran sungai menjadi perlahan dan kemasukan sedimen seperti tanah dan lumpur turut menurun.

“Apabila sedimen berkurang dengan ketara, air menjadi lebih telus. Ini membolehkan cahaya matahari menembusi lebih dalam dan menonjolkan warna semula jadi air, termasuk kehadiran fitoplankton, iaitu tumbuhan mikroskopik dalam air,” katanya.

Beliau berkata keadaan ini tidak boleh disalah tafsir sebagai peningkatan kualiti air.

“Air yang kelihatan jernih atau kehijauan tidak semestinya bersih. Ia hanya mencerminkan perubahan fizikal, bukan peningkatan sebenar kualiti air,” katanya.

Mohamad Faiz berkata apabila isi padu air berkurang, keupayaan sungai untuk mencairkan bahan pencemar turut menurun.

“Keadaan ini menyebabkan bahan seperti nutrien dan sisa menjadi lebih pekat dalam air, sekali gus meningkatkan risiko kepada kualiti air dan hidupan akuatik.

“Jika keadaan ini berterusan, ia boleh menjejaskan habitat ikan serta keseimbangan semula jadi ekosistem sungai yang akhirnya memberi kesan kepada sumber air yang digunakan oleh masyarakat,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan agar pemantauan berterusan dilakukan oleh agensi berkaitan serta memperkukuh pengurusan sumber air yang lebih adaptif dan responsif terhadap perubahan iklim.

“Orang ramai juga digalakkan menggunakan air secara berhemat bagi mengelakkan pembaziran ketika sumber air sedang menyusut. Ini penting kerana kesannya boleh menjejaskan bekalan air yang kita gunakan setiap hari,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video