Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa menghantar delegasi mengadap Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud untuk menzahirkan keputusan berhubung penutupan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), bagi memastikan keputusan itu tidak menjejas hubungan akrab antara Malaysia dan Arab Saudi.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan yang dibuat secara unilateral tanpa perbincangan dua hala dengan kerajaan Arab Saudi itu dibimbangi boleh menjejaskan hubungan kedua-dua negara yang sudah lama terjalin.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata keputusan itu juga dikhuatiri akan menjejaskan usahasama ekonomi berskala besar seperti pelaburan berjumlah RM31 bilion oleh Saudi Aramco dalam projek Rapid Petronas Pengerang.

"Projek ini membawa kepada pewujudan kerja-kerja berpendapatan tinggi serta menjadikan Malaysia hub petrokimia terpenting di rantau ini," katanya dalam kenyataan media di sini pada Rabu.

Asyraf mengulas kenyataan Menteri Pertahanan Muhamad Sabu pada Isnin bahawa operasi KSCIP di pejabat sementaranya di Jalan Ampang ditutup.

Beliau berkata penubuhan KSCIP merupakan pengiktirafan khas Raja Salman kepada Malaysia yang dikagumi baginda sebagai negara yang mengamalkan model Islam berteraskan prinsip Wasatiyyah.

"Arab Saudi bersetuju untuk membiayai sepenuhnya segala kos operasi KSCIP termasuk pembinaan bangunannya, dengan matlamat agar Malaysia mempromosi wajah Islam sebenar terutamanya dalam menangani isu-isu ekstrimisme dan terrorisme global."

Asyraf berkata berdasar hubungan baik itu Malaysia menikmati beberapa keistimewaan bagi mengerjakan ibadah Haji termasuk penambahan kuota Haji sehingga mencecah 30,000 tahun ini serta kemudahan-kemudahan lain seperti khemah berhawa dingin di Arafah dan perkhidmatan pelepasan segera (fast-track) kepada Jemaah Haji yang tiba di Lapangan Terbang Jeddah dan Madinah.

"Justeru, saya berharap pihak kerajaan dapat mengambil pendekatan lebih berdiplomasi dan berhikmah dengan menghantar delegasi menghadap Raja Arab Saudi bagi menzahirkan hasrat kerajaan untuk memastikan hubungan akrab antara Malaysia-Arab Saudi terpelihara dan rakyat dapat terus menikmati natijah positif daripada hubungan ini," tambahnya.

-- BERNAMA