Skip to main content

Malaysia

Penyahwartaan HSK Pahang tertakluk syarat dan prosedur - Wan Rosdy

51672493654_TBWANROSDYPH.jpg
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata keputusan untuk tidak melaksanakan siasatan awam dalam proses berkenaan dibuat berdasarkan bidang kuasa negeri terhadap pengurusan tanah dan hutan. - Gambar fail
Advertisement

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menegaskan proses penyahwartaan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri itu tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya tertakluk kepada kawalan ketat, syarat tertentu dan prosedur yang ditetapkan. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata keputusan untuk tidak melaksanakan siasatan awam dalam proses berkenaan dibuat berdasarkan bidang kuasa negeri terhadap pengurusan tanah dan hutan.

Beliau berkata pendekatan itu tidak hanya diamalkan oleh Pahang, malah beberapa negeri lain turut mengambil langkah sama.

“Pahang melihat kepada tanah dan hutan sebagai urusan negeri, jadi eloklah kerajaan negeri menguruskannya dan lagipun kita ada syarat-syarat tertentu… setakat ini, ia berjalan dengan baik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Inisiatif Makmur Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan negeri yang tidak mengadakan siasatan awam sebelum HSK dinyahwartakan. 

Sebelum ini, Pahang dilaporkan menjadi negeri yang keempat tidak menerima pakai dua perlindungan utama di bawah Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022, iaitu kewajipan mengadakan siasatan awam dan menyediakan tanah ganti sebelum sesuatu kawasan HSK dinyahwartakan.

Sementara itu, Wan Rosdy memaklumkan Pahang akan memperkenalkan inisiatif pinjaman tanpa faedah bagi pembelian motosikal, khas untuk golongan muda.

Beliau berkata inisiatif berkenaan menyasarkan belia berumur 18 hingga 21 tahun yang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS). 

“Ini satu galakan kepada anak-anak kita yang belajar di IPTA atau IPTS… inisiatif ini akan dibentangkan pada Belanjawan Pahang 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak,” katanya. 

Pada majlis berkenaan, lebih 2,000 anak Pahang yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 menerima insentif masing-masing yang melibatkan peruntukan RM2.4 juta. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement