Penyampai Astro AWANI, Marlina Manaf sah bergelar isteri Radzzi Ramly

Astro Awani
Disember 19, 2023 12:15 MYT
Marlina, menerima mas kahwin sebanyak RM300 daripada Radzzi - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Penyampai Berita Astro AWANI, Marlina Manaf sah bergelar isteri kepada Radzzi Ramly dengan sekali lafaz dalam satu majlis yang berlangsung secara sederhana selepas Asar pada Selasa.
Pasangan mempelai itu, yang sedondon memakai busana serba putih dinikahkan bapa pengantin perempuan, Che Abd Manaf Mamat di Rinching Terrace Wedding & Events, Kajang, Selangor.
Marlina, 41, menerima mas kahwin sebanyak RM300 daripada Radzzi, 39, yang merupakan kakitangan di sebuah syarikat penerbangan terkemuka.
Marlina yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam dunia kewartawanan berkata, mereka mengenali antara satu sama lain sejak zaman persekolahan.
"Saya diminati oleh beliau ketika di bangku sekolah," kata Marlina secara berseloroh.
Selepas 20 tahun, cinta antara dua pasangan sejoli ini bertaut.
Untuk rekod, ini merupakan perkahwinan kedua bagi kedua-dua pasangan berkenaan.
Majlis resepsi yang berlangsung di Rinching Terrace Wedding & Events malam ini dijangka dihadiri 250 tetamu.
#majlis perkahwinan #Penyampai berita #pasangan sejoli #dunia kewartawanan