Skip to main content

Malaysia

Penyanyi wanita terlepas hukuman gantung kes edar dadah

Sivahnanthan (kanan) dan Cyrus hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu, bagi mewakili Emily yang berdepan kes mengedar dadah. -- SINAR HARIAN
Sivahnanthan (kanan) dan Cyrus hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu, bagi mewakili Emily yang berdepan kes mengedar dadah. -Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang dikenali sebagai Emily menarik nafas lega apabila terlepas hukuman gantung atau penjara seumur hidup apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu melepas dan membebaskannya daripada tuduhan kes mengedar dadah tiga tahun lalu.

Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Advertisement

"Tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri," katanya.

Mengikut pertuduhan, Emily didakwa bersama tiga individu lain atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kokain seberat 400 gram di sebuah kediaman di Brickfields, 23 November 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Peguam, Sivahnanthan Ragava yang mewakili Emily berkata, keputusan itu jelas menunjukkan tiada bukti kukuh untuk mengaitkan anak guamnya dengan dadah berkenaan.

Katanya, pendakwaan menghujahkan bahawa dadah berkenaan dijumpai dalam rumah, namun mahkamah mendapati tiada keterangan yang mengaitkan anak guam dengan bahan tersebut.

“Mahkamah juga tidak berpuas hati dengan keterangan yang dikemukakan dan mendapati tiada elemen kawalan oleh beliau terhadap dadah berkenaan.

“Dalam kes serius seperti ini, beban pembuktian amat tinggi dan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes,” katanya yang dibantu oleh peguam, Cyrus Tiu Foo Woei.

Dalam pada itu, mahkamah memerintahkan tiga tertuduh lain yang diwakili peguam, C Paul, Jay Moy dan Gurmit Singh membela diri selepas wujud kes prima facie atas tuduhan berkenaan.

Pendakwaan kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan. -Sinar Harian

Must Watch Video