MALAYSIA

Penyasaran semula subsidi tidak jejas bekalan telur, kekal stabil, mencukupi - Mohamad Sabu

Bernama 14/07/2025 | 07:30 MYT
Datuk Seri Mohamad Sabu berkata situasi itu, membuktikan langkah pengurangan subsidi tersebut tidak menjejaskan bekalan telur ayam. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekalan telur ayam di pasaran kekal stabil dan mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat, walaupun kadar subsidi telah dikurangkan sebanyak lima sen sejak 1 Mei.


Ringkasan AI
  • Bekalan telur ayam di pasaran kekal stabil dan mencukupi walaupun subsidi dikurangkan sebanyak lima sen sejak 1 Mei.
  • Subsidi akan dihentikan sepenuhnya mulai 1 Ogos selepas mengambil kira komitmen industri dan keperluan kelangsungan kewangan negara serta industri tempatan.
  • Penyusunan semula subsidi adalah langkah kerajaan untuk penggunaan dana yang lebih berkesan dan menggalakkan pengeluaran makanan tempatan secara mampan.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata situasi itu, membuktikan langkah pengurangan subsidi tersebut tidak menjejaskan bekalan telur ayam.

"Malah menunjukkan keupayaan sistem pengeluaran tempatan yang semakin mampan dan berdaya tahan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan kawalan harga telur ayam akan ditamatkan, manakala kadar subsidi dikurangkan daripada 10 sen kepada lima sen sebiji berkuat kuasa 1 Mei 2025, sebelum dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayamn kekal mencukupi dan terjamin.

Keputusan itu turut mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan dan kewangan negara.

Langkah penyasaran semula subsidi telur itu, sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan penggunaan dana subsidi yang lebih berkesan serta menggalakkan pengeluaran makanan tempatan yang mampan.

-- BERNAMA




#subsidi telur #Mohamad Sabu #bekalan telur #telur ayam