NATIONAL
Penyasaran subsidi: MYCC pastikan amalan pasaran kompetitif bagi diesel

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menyatakan komitmen untuk memastikan amalan pasaran yang kompetitif dan bebas kartel susulan pelaksanaan subsidi diesel bersasar di Semenanjung Malaysia yang berkuat kuasa hari ini. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menyatakan komitmen untuk memastikan amalan pasaran yang kompetitif dan bebas kartel susulan pelaksanaan subsidi diesel bersasar di Semenanjung Malaysia yang berkuat kuasa hari ini.
Ringkasan AI
- MyCC komited memastikan pasaran kompetitif dan bebas kartel susulan pelaksanaan subsidi diesel bersasar di Semenanjung Malaysia.
- MyCC bekerjasama dengan KPDN dan MOF untuk mengesan dan bertindak terhadap aktiviti kartel, serta akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang terlibat.
- MyCC mengalu-alukan pertanyaan dan laporan daripada pengguna mengenai tingkah laku antipersaingan melalui laman web mereka.
"MyCC akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang didapati terlibat dalam tingkah laku kartel atau pakatan harga, yang menjejaskan integriti pasaran yang boleh memberi kesan kepada pelaksanaan subsidi bersasar ini.
"Kami akan bertindak tanpa rasa gusar atau pilih kasih terhadap pemain-pemain di mana-mana peringkat rantaian bekalan yang menunjukkan tanda-tanda menghalang, menyekat atau mengganggu-gugat persaingan dalam pasaran untuk barangan atau perkhidmatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Iskandar, untuk mengukuhkan kesediaan dan usaha MyCC, sumber khas telah didedikasikan kepada suruhanjaya itu bagi menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam tingkah laku sabotaj ekonomi yang berkaitan.
Beliau berkata MyCC mengalu-alukan sebarang pertanyaan atau laporan daripada pengguna dan syarikat, mereka boleh berbuat demikian melalui laman web www.mycc.gov.my atau cara lain yang memudahkan mereka.
Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula hari ini.
Sehubungan dengan itu, kerajaan melaksanakan inisiatif BUDI MADANI bertujuan memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada mereka yang layak dan mengurangkan beban golongan yang memerlukan, dengan pemberian RM200 bantuan tunai bulanan.
Pendaftaran bagi BUDI MADANI dibuka pada 28 Mei lepas dan tiada tarikh tutup ditetapkan untuk permohonan bantuan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami