MALAYSIA

Penyasaran subsidi petrol guna pelbagai mekanisme, bukan MyKad semata-mata - Armizan

Bernama 21/09/2025 | 07:47 MYT
Orang ramai tidak perlu bimbang sekiranya berdepan kesukaran apabila ingin membeli petrol bersubsidi akibat MyKad yang rosak kerana mereka boleh memilih pelbagai mekanisme lain yang disediakan. - Gambar hiasan/Bernama
PENAMPANG: Pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 akan menggunakan pelbagai mekanisme pembayaran, dan bukan bergantung pada penggunaan MyKad fizikal semata-mata, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.


Ringkasan AI
  • Pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 akan menggunakan pelbagai mekanisme pembayaran, bukan hanya bergantung pada MyKad fizikal; pengguna boleh guna aplikasi seperti Setel dan Shell App atau terminal pembayaran di stesen minyak.
  • Kerajaan memberi jaminan persiapan rapi telah dilakukan agar pelaksanaan subsidi berjalan lancar tanpa membebankan rakyat atau menyebabkan kesesakan di stesen minyak.
  • Kelayakan subsidi tetap disandarkan pada maklumat dalam MyKad, namun pembelian petrol bersubsidi boleh dilakukan melalui beberapa kaedah yang disediakan.


Justeru, katanya orang ramai tidak perlu bimbang sekiranya berdepan kesukaran apabila ingin membeli petrol bersubsidi menggunakan MyKad kerana mereka boleh memilih pelbagai mekanisme disediakan untuk mendapatkan subsidi itu.

Beliau berkata antaranya melalui aplikasi yang telah disediakan syarikat minyak seperti Setel dan Shell App yang membolehkan orang ramai menikmati subsidi itu dengan lebih mudah dan cepat.

"Pengguna juga boleh menggunakan kaedah pembayaran di terminal pembayaran di luar atau di dalam stesen minyak untuk membeli petrol bersubsidi itu. Jadi, jangan khuatir, jangan anggap bahawa MyKad (fizikal) hanya satu-satunya kaedah.

"Walaupun semuanya akan disandarkan kepada kelayakan yang ada dalam MyKad, pembelian itu tidaklah hanya bergantung pada satu kaedah semata-mata," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Konvensyen Mahasiswa Sabah yang diadakan selama sehari di sini dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta dihadiri mahasiswa dari seluruh negeri.

Armizan menegaskan bahawa kerajaan memastikan persiapan yang teliti telah dilakukan sejak awal tahun demi kelancaran pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 yang akan diumumkan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.

"Kita akan memastikan langkah ini berjalan dengan lancar dan tidak akan membebankan rakyat, apatah lagi menyebabkan ada tuduhan bahawa rakyat akan terpaksa beratur panjang nanti," katanya.

-- BERNAMA



#penyasaran subsidi petrol #RON95 #Armizan Mohd Ali #mykad #pelbagai mekanisme pembayaran