Penyasaran subsidi tidak tambah hutang negara, jimat hingga RM4 bilion setahun - MoF

Penyasaran semula subsidi petrol RON95 merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan beban rakyat selain meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan agihan sumber kewangan negara. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan penyasaran subsidi bukanlah langkah yang menambah hutang negara, sebaliknya merupakan strategi penting untuk mengurangkan liabiliti jangka panjang, menstabilkan kedudukan fiskal dan mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia.
Ringkasan AI
- Penyasaran subsidi dilaksanakan untuk mengurangkan liabiliti jangka panjang dan menstabilkan kedudukan fiskal negara, bukannya menambah hutang negara.
- Penjimatan melalui penyasaran subsidi petrol RON95 dijangka dapat menjimatkan RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, dengan 20% pengguna tidak layak menerima subsidi.
- Kerajaan komited untuk menjalankan pendekatan fiskal berhemah dan bertanggungjawab melalui penyasaran subsidi, tanpa menambah hutang negara.
Menurut MoF, kerajaan dijangka dapat menjana penjimatan sekitar RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun berdasarkan data penggunaan domestik serta andaian bahawa sekitar 20 peratus daripada jumlah penggunaan RON95 pada masa ini melibatkan pengguna yang tidak layak menerima subsidi.
"Julat penjimatan itu mengambil kira pelbagai senario harga minyak mentah global antara US$60 hingga US$80 setong, serta pelaksanaan penghapusan subsidi ke atas segmen tidak disasarkan seperti warga asing dan pengguna komersial," katanya.
Kementerian itu turut menjelaskan bahawa pendekatan penyasaran subsidi mempunyai kelebihan dan tidak menyebabkan peningkatan kadar inflasi yang mendadak berbanding menaikkan harga RON95 kepada harga pasaran untuk semua, dengan inflasi dijangka kekal di bawah dua peratus bagi 2025 dan 2026.
"Ia juga membantu menampung tahap kegunaan RON95 yang berbeza dalam kalangan rakyat yang mempunyai jarak perjalanan harian berbeza," tambah MoF.
Kementerian itu berkata kerajaan komited mengamalkan pendekatan fiskal berhemah dan bertanggungjawab, dengan penyasaran subsidi dilihat mampu memperkukuh kedudukan fiskal negara tanpa menambah hutang serta memastikan manfaat disalurkan secara lebih berkesan.
MoF berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli (PH-Pandan) yang ingin tahu anggaran penjimatan kos sistem dan belanja pelaksanaan tahunan 2025, 2026 dan 2027 bagi program subsidi RON95 dan bagaimana penjimatan itu akan dimanfaatkan dan peruntukan-peruntukan mana yang akan ditambah menggunakan penjimatan berkenaan serta peratusan penambahbaikan defisit fiskal negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


