Skip to main content

Malaysia

Penyata JKPK pengasingan peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya dibentang esok - Azalina

Menurut Azalina (foto), mesyuarat jemaah menteri pada 30 Januari lalu telah bersetuju secara prinsip dengan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi kedua-dua cadangan. -Foto fail/Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pembentangan itu merupakan bukti jelas komitmen utuh Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kedaulatan undang-undang, kebebasan institusi dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Mengenai Pindaan Perlembagaan Persekutuan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok merupakan satu langkah signifikan dalam merealisasikan agenda reformasi institusi secara bertanggungjawab, inklusif dan berlandaskan Perlembagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pembentangan itu merupakan bukti jelas komitmen utuh Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kedaulatan undang-undang, kebebasan institusi dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Beliau berkata hasil penelitian JKPK yang telah bersidang sebanyak tujuh kali berjaya memperhalusi cadangan asal pindaan itu melalui tujuh penambahbaikan utama yang mempertingkatkan kebebasan, integriti dan akauntabiliti institusi Pendakwa Raya.

“Antaranya termasuklah pemerkasaan peranan Parlimen dalam proses pelantikan, pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) tanpa penglibatan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri, tempoh jawatan tetap tujuh tahun tanpa pembaharuan, pengenalan Kod Etika Pendakwa Raya serta kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang lanjut bagi memperkukuh institusi ini.

“Selain itu, kerajaan turut menambah baik Fasal (18) Perkara 145A Perlembagaan Persekutuan bagi memperkasakan peranan Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata pindaan itu menetapkan SPKP mengemukakan nama calon kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dibentangkan dan diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat sebelum syor dikemukakan semula kepada SPKP, yang seterusnya boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nama yang disyorkan Dewan Rakyat.

Beliau berkata langkah itu diambil bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang, tanpa menjejaskan kebebasan Pendakwa Raya atau kedudukan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan.

“Reformasi ini bukan sekadar memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, malah membina institusi pendakwaan yang lebih bebas, telus dan bertanggungjawab demi memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

“Inilah legasi sebenar agenda reformasi institusi yang diperjuangkan oleh Kerajaan MADANI, iaitu mewariskan institusi yang lebih kukuh, lebih berintegriti, berdaya tahan dan diyakini demi kepentingan generasi akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement