KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak boleh memaksa pihak pemaju menyerahkan tanah secara percuma dalam semua keadaan malah perlu kreatif dari segi penyediaan.

Menurut Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL Datuk Zulkurnain Hassan, ini kerana penyediaan kawasan lapang perlu lebih kreatif dengan mengambil kira kos tanah yang tinggi di Kuala Lumpur.

Selain itu ujarnya, matlamat DBKL adalah bagi memastikan penyediaan kawasan yang mencukupi dan mudah diakses untuk semua golongan masyarakat.

"Kalau dulu kita ada dua kategori kawasan lapang. Kawasan lapang awam dan kawasan lapang swasta. Tetapi dalam konteks PTKL 2040 ini kita perluaskan kawasan lapang kita ini daripada kawasan lapang awam yang biasa contohnya Taman Botani, Taman Titiwangsa ini kawasan kawasan yang berskala besar.

"Kita juga ada kawasan lapang di taman perumahan yang kita protect, yang kita wartakan, dan kita uruskan kawasan lapang itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program AWANI Pagi dan turut berkongsi berkenaan kandungan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 pada Jumaat.

Tambah beliau, bagi kategori kawasasan lapang swasta yang dirancang sejak awal contohnya padang golf, juga perlu dimanfaatkan meskipun jumlah pengunjung yang masuk ke kawasan itu adalah terhad.

Manakala satu contoh lagi adalah kawasan lapang seterusnya adalah statik yang boleh disediakan untuk tanaman pokok contoh di lebuh raya termasuk tepi sungai.

"Kawasan lapang milik persendirian atas bangunan ini adalah kawasan lapang yang diperkenalkan mengambil kira perancangan semasa mengambil kira kesukaran untuk menyediakan kawasan lapang dalam bentuk konvensional. Kita tak boleh nak paksa.

"Jadi untuk kawasan persendirian, kita benarkan kawasan lapang disediakan dalam kawasan projek tetapi objektif untuk keperluan awam kita deny," katanya.