MALAYSIA

Penyediaan RMK13 antara fokus mesyuarat MBKM ke-146 - Shamsul Azri

Bernama 14/07/2025 | 08:10 MYT
Shamsul Azri berkata mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri juga terarah kepada pelaksanaan projek pembangunan dan isu berkaitan pemberimilikan tanah di negeri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bergambar) -- Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijangka dibentangkan di Parlimen hujung bulan ini, antara yang dibincangkan dalam mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang ke-146 di Putrajaya, hari ini.


Ringkasan AI
  • Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-146 membincangkan penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijadual dibentang di Parlimen pada 31 Julai, serta pelaksanaan projek pembangunan dan isu pemberimilikan tanah.
  • RMK13 bagi tempoh 20262030 akan menjadi titik tolak usaha kerajaan menangani cabaran ekonomi seperti ketidakseimbangan pembangunan, ruang fiskal terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan.
  • Ketua Setiausaha Negara menyatakan komitmen untuk turun padang dan memantau pelaksanaan projek di negeri-negeri sebagai sebahagian daripada agenda reformasi perkhidmatan awam.


Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi perkongsian di Facebok berkata mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga terarah kepada pelaksanaan projek pembangunan dan isu berkaitan pemberimilikan tanah di negeri.

"Ini merupakan mesyuarat kedua tahun ini atau keseluruhannya sebanyak 146 kali pernah diadakan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Berdasarkan takwim Penggal Keempat, Parlimen Kelima Belas 2025, Mesyuarat Kedua, pembentangan RMK13 dijadualkan pada 31 Julai.

Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2030, akan menjadi titik tolak kepada usaha kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi negara.

Anwar berkata cabaran itu termasuk keseimbangan pembangunan dan pendapatan, ruang fiskal yang terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan.

Shamsul Azri, dalam pada itu turut menyatakan komitmen beliau untuk kerap turun padang dan membuat lawatan mengejut di negeri-negeri, bagi memantau pelaksanaan program atau projek serta meneruskan agenda reformasi perkhidmatan awam.

-- BERNAMA


#RMK13 #Menteri Besar #Ketua Menteri #Shamsul Azri Abu Bakar