MALAYSIA

Penyelam mengaku tidak salah buat hantaran jelik terhadap Nurul Izzah

Bernama 20/06/2025 | 09:30 MYT
Ruslan Mat Ali berhadapan 11 pertuduhan melakukan hantaran jelik terhadap Nurul Izzah Anwar menerusi laman Facebook awal tahun lalu. - Foto Bernama
SEPANG: Seorang penyelam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan memulakan hantaran komen jelik dan melampau sifatnya terhadap anak Perdana Menteri Nurul Izzah Anwar menerusi laman media sosial Facebook awal tahun ini.

Ringkasan AI
  • Seorang penyelam, Ruslan Mat Ali, didakwa atas 11 pertuduhan komen jelik terhadap anak Perdana Menteri di Facebook antara 21 Januari hingga 25 Februari 2024, dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen.
  • Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.
  • Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000, namun tertuduh gagal membayarnya; kes akan disebut semula pada 18 Julai 2025.

Tertuduh Ruslan Mat Ali, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, Ruslan secara sedar telah membuat dan memulakan hantaran komen yang jelik dan jelik melampau sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan akaun Facebook Ruslan Mat Ali.
Kesemua hantaran didakwa dilakukan antara 21 Jan hingga 25 Feb lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Mengikut pertuduhan pertama, hantaran itu dilihat pada 4 Feb lepas, kira-kira 7 pagi di MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.
Bagi pertuduhan kedua hingga ke-11, hantaran itu dilihat pada 26 Feb lepas, antara 1.51 tengah hari hingga 4.30 petang di Centre of Excellence MCMC, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Bagaimanapun, bapa tunggal itu yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana dia tidak mempunyai pendapatan tetap serta menanggung tiga anak.
Ahmad Fuad memerintahkan Ruslan dikenakan jaminan RM10,000 dan menetapkan 18 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Ruslan bagaimanapun gagal membayar wang jaminan itu.
-- BERNAMA
#Penyelam #hantaran jelik #Nurul Izzah Anwar #anak perdana menteri