Penyelarasan elaun perumahan langkah baik - Cuepacs

Bernama
November 26, 2020 21:11 MYT
ADNAN: Cuepacs berharap semua pihak di blok pembangkang dan kerajaan terus mencari titik persefahaman dalam isu Belanjawan 2021. Titik persefahaman terbabit adalah rakyat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk mengkaji dan menyelaras semula kadar elaun perumahan penjawat awam dilihat sebagai langkah baik dalam memastikan pemberian elaun yang adil serta saksama.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata langkah itu juga dilihat mampu memperkasakan lagi sistem perkhidmatan awam terutama dalam soal kebajikan warganya.
"Cuepacs sudah bawa isu ini semenjak 2013 lagi dan kita mengalu-alukan pengumuman ini agar keadilan dapat diberikan dalam pemberian elaun ini.
Ini kerana buat masa ini penjawat awam Semenanjung yang berkhidmat di Sabah juga Sarawak menerima elaun perumahan lebih tinggi berbanding penjawat awam Sabah juga Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam sesi penggulungan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di Dewan Rakyat semalam memaklumkan kerajaan akan mengkaji semula dan menyelaras kadar elaun perumahan penjawat awam.
Selepas dua minggu dibahas dan melalui empat hari proses penggulungan oleh setiap kementerian, rang undang-undang itu diluluskan di peringkat dasar semalam.
Adnan turut mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang terlibat dalam memastikan Belanjawan 2021 diluluskan.
Katanya walaupun kelulusan Belanjawan 2021 itu hanyalah di peringkat dasar, Cuepacs optimis belanjawan tersebut akan tetap diluluskan sekali lagi selepas ia dibahas di peringkat jawatankuasa selepas ini.
"Cuepacs berharap semua pihak di blok pembangkang dan kerajaan terus mencari titik persefahaman dalam isu Belanjawan 2021. Titik persefahaman terbabit adalah rakyat.
Dari sudut perkhidmatan awam pula, belanjawan ini sudah tentu amat penting kerana penjawat awam ketika ini bertanggungjawab secara langsung dalam memastikan setiap agenda dan dasar kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi negara berjaya dilaksanakan," katanya.
-- BERNAMA
#Adnan Mat #Dewan Rakyat #cuepacs #ekonomi #penjawat awam #elaun perumahan #penggulungan #diluluskan #peringkat dasar #Belanjawan 2021 #elaun #pembangkang #titik persefahaman #rakyat #penyelarasan