Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Penyelenggaraan berterusan pastikan ketahanan Jambatan Kedua Pulau Pinang

Bernama 16/08/2025 | 10:15 MYT
Nanta (kanan) dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, meninjau kerja penyelenggaraan Jambatan Kedua Pulau Pinang, hari ini.
GEORGE TOWN: Kerja-kerja penyelenggaraan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang bukan sahaja penting bagi memastikan ketahanannya, malah melibatkan cabaran besar serta risiko tinggi.


Ringkasan AI
  • Penyelenggaraan Jambatan Kedua Pulau Pinang penting bagi memastikan ketahanan struktur sepanjang 24 kilometer yang direka untuk bertahan sehingga 120 tahun.
  • Kerja penyelenggaraan melibatkan penggantian plat keluli rosak, pembersihan karat, pelapisan salutan pelindungan khas serta penggunaan gondola, ROV dan penyelam pakar untuk pemeriksaan bawah air.
  • Menteri Kerja Raya menekankan usaha pasukan teknikal yang jarang terlihat tetapi amat penting demi keselamatan trafik darat dan laut di kawasan jambatan tersebut.


Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata struktur sepanjang 24 kilometer itu direka dengan jangka hayat sehingga 120 tahun, namun bagi mengekalkan ketahanannya, kerja penyelenggaraan berterusan perlu dilaksanakan secara teliti.

"Ramai melihat jambatan ini hanya sebagai laluan indah terbentang di lautan, tetapi di sebaliknya terdapat pasukan jurutera dan penyelam yang berusaha memastikan struktur ini sentiasa dalam keadaan selamat.

"Contohnya, kerja-kerja salutan pelindungan pada panel keluli yang berfungsi sebagai 'perisai' melindungi tiang jambatan daripada hentaman kapal dan menyerap tenaga perlanggaran," katanya dalam hantaran Facebook rasmi beliau di sini hari ini.

Nanta berkata kerja penyelenggaraan melibatkan penggantian plat keluli rosak akibat kakisan, pembersihan karat menggunakan kaedah mekanikal serta pelapisan semula dengan beberapa lapisan salutan pelindungan khas.

Selain itu, beliau berkata jambatan berkenaan turut dilengkapi gondola yang memudahkan pasukan teknikal melakukan pemantauan pada bahagian rentang bawah jambatan dengan lebih selamat, selain menggunakan kenderaan yang dikendalikan dari jauh (ROV) dan penyelam pakar untuk pemeriksaan di bawah air.

"Semua ini adalah usaha yang jarang terlihat oleh orang ramai tetapi ia amat penting bagi memastikan keselamatan aliran trafik darat dan laut di kawasan ini," katanya.

Jambatan Kedua Pulau Pinang pernah dinobatkan sebagai jambatan terpanjang di ASEAN dan kekal sebagai antara projek ikonik negara.

-- BERNAMA



#Jambatan Kedua Pulau Pinang #KKR #Alexander Nanta Linggi #Ahmad Maslan