RAUB: Mahkamah Sesyen Raub pada Isnin telah menjatuhkan denda RM70,000 dan tujuh bulan penjara, jika gagal membayar denda, kepada seorang penyelia tapak kerana bersalah menyebabkan Sungai Merapoh, Lipis, tercemar dan mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Merapoh ditutup.

Tertuduh Lew Shou Jen, 49, mengaku bersalah di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Raub, Ahmad Faizadh Yahaya, dan dijatuhkan hukuman di bawah Sesyen 37 (1) (C) Enakmen Sumber Air Pahang 2007.

Menurut fakta kes pada 25 Jun 2021, anggota penguatkuasa dari Unit Penguatkuasaan Air Negeri Pahang Zon Barat, telah melakukan siasatan ke atas aduan penutupan Lori Rawatan Air Merapoh, Kuala Lipis.

Siasatan yang dilakukan di bawah Seksyen 37 (1) (c) Enakmen Sumber Air 2007 itu menyebut "mana-mana orang melepaskan; atau menyebabkan supaya dilepaskan; ke dalam mana-mana sumber air apa-apa benda yang disebabkan oleh sifat semula jadinya atau kesannya dalam melunturkan warna air, menjadikan atau menyumbang kepada menjadikan air itu sukar dirawat".

Siasatan lanjut kemudiannya dilakukan ke atas tanah bernombor Lot 5055 di Mukim Batu Yon, daerah Lipis, Negeri Pahang milik Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (sekarang dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang - PKNP) yang telah dipajakkan kepada Syarikat Bintang Tower Sdn. Bhd., mendapati adanya kerja-kerja pembukaan tanah yang meliputi kawasan melebihi 30 ekar.

Kesan daripada kerja tanah tersebut telah menyebabkan air kotor daripada tanah di atas tanah lot tersebut memasuki ke sebuah saluran air dan seterusnya mengalir terus ke Sungai Merapoh.

Hasil siasatan juga mendapati Syarikat Bintang Tower Sdn. Bhd. telah melantik sebuah syarikat bernama United Paulownia Sdn. Bhd. untuk menjalankan kerja-kerja penanaman pokok Paulownia sebagaimana yang telah dipersetujui antara PKNP dan syarikat Bintang Tower Sdn. Bhd.

Penyelia tapak syarikat United Paulownia Plantation Sdn. Bhd. didapati telah gagal mengarahkan kontraktor bagi membina kolam perangkap kelodak (silt trap) dan ia telah menyebabkan kerja-kerja tanah tersebut menyumbang kepada berlakunya pencemaran Sungai Merapoh.

Seterusnya, PKNP pada 1 Julai 2021 juga setelah mengesahkan terdapat saliran parit dari kawasan tanah lot itu di alirkan masuk ke Sungai Merapoh, telah mengeluarkan surat arahan untuk menghentikan kerja di atas Lot 5055.

Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Pahang pada 17 Ogos 2021 dan telah mendapat izin untuk menjalankan pendakwaan ke atas penyelia tapak syarikat United Paulownia Sdn. Bhd. (Orang Kena Saman) di bawah kesalahan Seksyen 37 (1) (c).

Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM 250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Unit Penguatkuasa Air Pahang Izzat Ikhwan Abu Bakar.

Pegawai Pendakwa daripada Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang berpuas hati dengan jumlah denda yang dikenakan kepada tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat di negeri ini.

Menurut Pegawai Pendakwa daripada Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Seksyen 37 (1) (C) Enakmen Sumber Air Pahang 2007 ini adalah pertama kali digunakan bagi membuktikan ketegasan kerajaan Pahang pemeliharaan sumber air negeri.