MALAYSIA
Penyelidik arkeologi Sungai Batu penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Kedah
Mokhtar (tengah) bersama ahli keluarga selepas dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kedah. - Gambar/ Sinar Harian
ALOR SETAR: Penyelidik arkeologi Sungai Batu, Lembah Bujang, Prof Datuk Mokhtar Saidin dinobatkan Tokoh Maal Hijrah 1447H peringkat Kedah, hari ini.
Ringkasan AI
- Prof Datuk Mokhtar Saidin, penyelidik arkeologi Sungai Batu, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1447H peringkat Kedah atas sumbangannya dalam penemuan Tamadun Kedah Tua dan pembangunan ilmu arkeologi di rantau ini.
- Beliau mengetuai penyelidikan sistematik di Sungai Batu sejak 2007, yang membawa kepada penemuan relau peleburan besi dan jutaan alat arkeometalurgi, membuktikan Kedah sebagai pusat industri besi sejak 2800 tahun lalu.
- Mokhtar terus aktif dalam penerbitan akademik, pendidikan dan ceramah, serta berhasrat menjadikan Sungai Batu sebagai produk warisan dan sumber ekonomi negeri, sambil menekankan pentingnya pengiktirafan terhadap cendekiawan bukan agamawan.
Mokhtar, 62, yang dilahirkan di Kampung Bukit Pekan, Kampar, Perak merupakan sosok utama perintis kepada penemuan Tamadun Kedah Tua yang bertapak di Sungai Batu semenjak kurun ke-8 sebelum Masihi.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pekan dan melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Anglo-Chinese Ipoh, sebelum menyambung program matrikulasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang geologi dan arkeologi.
Selepas menamatkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang arkeologi di USM, beliau melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang yang sama di USM, sekali gus mencerminkan komitmen dan minatnya yang mendalam terhadap pembangunan ilmu arkeologi khususnya dalam konteks sejarah dan ketamadunan di rantau ini.
"Apabila dimaklumkan mengenai anugerah ini, ia di luar dugaan kerana biasanya tokoh-tokoh dipilih dalam kalangan agamawan. Ini kali pertama pengiktirafan kepada ahli akademik yang menjalankan penyelidikan berkaitan arkeologi dan sejarah, jadi saya rasa ia sesuatu yang sangat baik untuk negeri dan negara.
"Penganugerahan ini sesuatu yang baik kerana bidang ilmu merupakan asas kepada kemajuan negara dan keperibadian penduduk... sekiranya tidak ada pengiktirafan ini, kurang pendekatan untuk mengiktiraf cendiakawan yang menjalankan penyelidikan dalam bidang lain," katanya selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kedah di sini hari ini.
Mokhtar berkata masih banyak yang perlu dilakukannya antaranya membangunkan Sungai Batu sebagai satu produk supaya semua rakyat tahu mengenai jati diri negeri dan negara selain menjadikannya sebagai sumber pendapatan kepada Kedah.
Beliau juga masih menghasilkan penerbitan berimpak tinggi peringkat global mengenai Sungai Batu selain mendidik pelajar yang berminat untuk belajar mengenai tamadun dan sejarah serta memberikan ceramah motivasi kepada pelbagai agensi.
"Selain itu, kita juga berjaya membuktikan kepada dunia bahawa apa yang disebut oleh Al-Kindi (801-873) besi terbaik dunia datang dari 'Kalah' iaitu nama bagi panggilan negeri Kedah pada ketika itu dan Al-Biruni (973-1050) bahawa kesemua besi di Yaman dan Hindi juga berasal dari Kalah.
Beliau mula terlibat dalam penyelidikan arkeologi di tapak Sungai Batu selepas menerima permintaan khas daripada mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 2007 untuk melaksanakan penyelidikan itu sebagai sebahagian daripada usaha mengenal pasti kewujudan tapak industri peleburan besi berskala besar yang dipercayai pernah wujud di rantau ini semenjak 2800 tahun lepas.
Melalui penyelidikan sistematik dan kerja lapangan intensif yang diketuai Mokhtar dan pasukan penyelidik, penemuan penting telah direkodkan di Sungai Batu termasuk sejumlah besar relau peleburan besi dan lebih dua juta unit "tuyere" iaitu alat arkeometalurgi yang digunakan bagi menyalurkan udara atau oksigen ke dalam relau besi untuk meningkatkan suhu semasa proses peleburan besi dilakukan.
-- BERNAMA