MALAYSIA

Penyelidik UTHM hasilkan produk penggalak tanaman menerusi Agropreneur MADANI

Bernama 04/07/2025 | 21:30 MYT
Menerusi Agropreneur MADANI, peserta diberikan latihan penghasilan produk inovasi yang membolehkan mereka diajar menghasilkan dan membungkus produk, malah turut diberikan latihan berkaitan kaedah jualan dan pemasaran yang efektif. - Foto UTHM
BATU PAHAT: Sekumpulan penyelidik dari Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini berjaya menghasilkan 210 unit produk penggalak tanaman organik BootaniBoost menerusi program Agropreneur MADANI bersama kampung angkat UTHM.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM Prof Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq berkata produk menggunakan kaedah semula jadi melalui teknologi efektif mikroorganisma itu mampu membantu pekebun kecil menggandakan hasil tanaman serta meningkatkan daya tahan tanaman mereka daripada penyakit.

"Produk itu mampu mempercepatkan pertumbuhan tanaman sebanyak 30 peratus berbanding biasa serta sesuai digunakan untuk semua jenis tanaman termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, herba atau tanaman hiasan," katanya dalam kenyataan semalam.

Menerusi Agropreneur MADANI itu juga, sebanyak 26 peserta diberikan latihan penghasilan produk inovasi yang membolehkan mereka diajar menghasilkan dan membungkus produk, malah turut diberikan latihan berkaitan kaedah jualan dan pemasaran yang efektif.

Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Parit Jelutong Zaili Saiman berkata selain galakan inovasi, para peserta juga dilatih untuk menjadi usahawan menerusi penjualan produk BootaniBoost serta produk tanaman sayur-sayuran organik, sekali gus membantu menjana pendapatan penduduk kampung.

Program Agropreneur MADANI turut mendapat kerjasama daripada Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan, Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parit Jelutong, Sekolah Kebangsaan Jelotong serta Pejabat Pertanian Daerah Batu Pahat.

-- BERNAMA





#Universiti Tun Hussein Onn Malaysia #Agropreneur MADANI #kampung angkat #produk penggalak tanaman #Organik