Penyelidikan berterusan mampu fahami COVID-19 - Dr Noor Hisham

Astro Awani
Ogos 19, 2021 15:22 MYT
Dr Noor Hisham berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus menjadi agenda utama negara dalam memerangi pandemik tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penyelidikan berterusan mampu membantu sektor kesihatan memahami dengan lebih mendalam mengenai pandemik CPVID-19.
Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekali gus meningkatkan pengurusan perawatan klinikal dan langkah-langkah kesihatan awam dalam membendung wabak tersebut.
"Penggunaan kesihatan digital terutamanya telah terbukti penting dalam pertarungan kita melawan COVID-19.
"Sebagai contoh, penggunaan aplikasi MySejahtera untuk pengawasan kesihatan secara dari jauh, pengesanan kontak rapat serta membantu proses pemberian vaksin," katanya ketika merasmikan Persidangan Kajian bagi Klinikal Kebangsaan 2021 ke-14 (NCCR2021) secara maya, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim; Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Dr Kalaiarasu M Peariasamy dan Ketua Pegawai Eksekutif, Clinical Research Malaysia (CRM), Dr Akhmal Yusof.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus menjadi agenda utama negara dalam memerangi pandemik tersebut.
Setakat ini katanya, sebanyak 35 peratus daripada populasi negara telah divaksinasi.
Dalam masa yang sama, beliau menambah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) dengan kerjasama penyelidik dari dalam dan luar negara telah membangunkan sebuah penyelesaian perubatan digital bagi memantau kesihatan semasa pesakit COVID-19 yang menjalani kuarantin di rumah.
"Penyelesaian Digital Pemantauan Kuarantin Covid-19 di Rumah (CODIQ-MY) menggunakan ‘Internet of Medical Things’ dan kepintaran buatan (AI) bagi memberikan maklumat nyata (real time) mengenai status kesihatan pesakit COVID-19 yang dikuarantin di rumah. Ia membolehkan doktor menyediakan rancangan rawatan yang cepat dan bersasar," ujarnya.
Persidangan tahunan NCCR2021 yang berlangsung selama tiga hari sejak Rabu mengumpulkan 20 penyelidik terkenal dan 900 delegasi dari dalam dan luar negara bagi membincangkan perkembangan terkini dalam bidang tersebut.
Dr Noor Hisham berkata, antara topik yang akan dibincangkan dalam NCCR tahun ini termasuk pembangunan vaksin COVID-19, kajian genom untuk penyakit barah dan penyakit tidak berjangkit lain serta penggunaan AI dalam perubatan klinikal.
#Dr Noor Hisham Abdullah #DG Noor Hisham #Penyelidikan COVID-19 #NCCR2021 #PICK #Vaksinasi Malaysia #Covid-19 Malaysia #MySejahtera #berita hari ini
;