GEORGE TOWN: Penyelidikan perlu menjadi pemangkin kepada kemajuan dan pembangunan negara dengan hasilnya diterjemahkan kepada penyelesaian terhadap cabaran sebenar masyarakat, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah, hasil penyelidikan tidak seharusnya sekadar tersimpan dalam bentuk laporan, jurnal atau penerbitan, sebaliknya ilmu dan penemuan yang dihasilkan perlu dimanfaatkan secara berkesan demi kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.
“Dalam kita terus meneroka bidang baharu dalam sains dan teknologi, kita juga perlu memastikan setiap kemajuan yang dicapai mengambil kira kepentingan alam sekitar dan generasi akan datang.
“Kemajuan yang sebenar bukan hanya tentang sejauh mana kita mampu melangkah, tetapi sejauh mana kita mampu mencipta perubahan yang memberi manfaat dan terus dirasai oleh generasi akan datang,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Global Trends in Engineering and Science Technology Congress (GTEST 2026) di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), Pulau Pinang, pada Selasa.
Baginda yang juga Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang komited dalam membentuk graduan universiti itu yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, malah berkeupayaan memimpin serta menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP, serta anakanda puteri kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba Baginda disambut Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.
GTEST 2026 merupakan kongres antarabangsa anjuran UniMAP yang menghimpunkan akademia, penyelidik, jurutera dan pakar industri dari seluruh dunia bagi berkongsi pengetahuan, meneroka perkembangan terkini serta memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi.
Penganjuran kali ini turut memperkukuh jaringan antarabangsa menerusi kolaborasi strategik bersama Tokyo University of Science (TUS), Jepun, selain menggabungkan beberapa persidangan berprestij termasuk Western Belt Electronics Technology Conference (WESTAC 2026), IQ-SITE 2026 dan IC-BUSCLi 2026.
Kongres yang bermula 1 September itu dijangka menampilkan ratusan kertas kerja penyelidikan mutakhir yang mengetengahkan perkembangan dan trend global, kelestarian serta inovasi dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi.
Perkukuh kerjasama universiti-industri
Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara UniMAP dengan rakan strategik daripada sektor industri dan akademia.
Antara MoU yang dimeterai ialah bersama Renesas Semiconductor Malaysia Sdn. Bhd., Maths Proofread, Aemulus Corporation, Horizontal Integration Malaysia Sdn. Bhd., AT&S Austria Technologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn. Bhd. serta Altera Malaysia.
Sementara itu, MoA pula melibatkan Cancer Survivors Malaysia, Renesas Electronics (Penang) Sdn. Bhd. dan ADA Biotech Sdn. Bhd.
Kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen berterusan UniMAP dalam memperluas jaringan strategik bersama industri, memperkasa ekosistem penyelidikan serta memastikan kepakaran dan inovasi universiti dapat dimanfaatkan secara lebih meluas.
Baginda turut berkenan menyaksikan penyerahan cek geran penyelidikan daripada pihak industri kepada UniMAP oleh Fermpro, Cancer Survivors Malaysia, Renesas dan Nagoya sebagai sokongan terhadap usaha memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan universiti.
Inisiatif itu bukan sahaja membuka ruang kepada penghasilan penyelesaian berasaskan penyelidikan, malah memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan industri dalam menangani keperluan serta cabaran semasa.