MALAYSIA
Penyertaan masih rendah, bukan bumiputera diseru sertai ATM
Seramai 509 pegawai kadet menerima watikah pentauliahan sebagai pegawai ATM pada Istiadat Perbarisan dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM di Kem Perdana, Sungai Besi, hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menyeru lebih ramai rakyat bukan bumiputera menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan jumlah penyertaan golongan itu masih rendah ketika ini.
Ringkasan AI
- Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menyeru lebih ramai rakyat bukan bumiputera menyertai ATM sebagai kerjaya profesional, susulan jumlah penyertaan golongan itu masih rendah.
- Seramai 509 pegawai kadet menerima watikah tauliah dalam Istiadat Perbarisan ATM yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menandakan permulaan tugas sebagai pegawai muda dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.
- Istiadat ini menzahirkan komitmen ATM dalam melahirkan kepimpinan tentera yang berwibawa, berdisiplin dan berintegriti tinggi demi mempertahankan kedaulatan negara.
Mohd Nizam berkata ATM perlu dilihat sebagai antara peluang kerjaya yang terbuka untuk diceburi kerana ia satu bidang profesional yang jauh berbeza daripada bidang lain.
"Saya juga menyeru supaya kaum-kaum lain menyertai ATM, cabaran bermula di sini, kamu akan dapat rasakan erti profesionalisme sebenar," katanya pada sidang media selepas Istiadat Perbarisan dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM di Kem Perdana, Sungai Besi, di sini hari ini.
Istiadat berkenaan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang turut dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dan panglima-panglima ATM.
Mohd Nizam berkata pada istiadat kali ini, sebanyak 509 pegawai kadet menerima watikah pentauliahan sebagai pegawai ATM.
Beliau berkata istiadat berkenaan diadakan sebagai pengiktirafan rasmi kepada pegawai kadet ATM yang telah menamatkan latihan ketenteraan serta menandakan permulaan tugas dan tanggungjawab sebagai pegawai muda dalam cabang perkhidmatan ATM.
Ia juga bertujuan menzahirkan komitmen ATM dalam melahirkan kepimpinan tentera yang berwibawa, berdisiplin dan berintegriti tinggi demi mempertahankan kedaulatan negara.
Dalam istiadat berkenaan, 295 Pegawai Muda Tentera Darat, 114 Pegawai Muda Tentera Laut Diraja Malaysia dan 100 Pegawai Muda Tentera Udara Diraja Malaysia menerima watikah tauliah masing-masing.
-- BERNAMA