Penyertaan pelajar TVET dijangka capai 70 peratus menjelang akhir RMK13

Graduan TVET mencatatkan kadar kebolehpasaran sehingga 100%, dengan gaji permulaan sekitar RM2,500 bagi pemegang SKM Tahap 3, melebihi gaji minimum nasional. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Penyertaan pelajar dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini berada pada tahap 53.9 peratus dan dijangka meningkat kepada 70 peratus menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Ringkasan AI
- Penyertaan pelajar dalam program TVET kini mencecah 53.9% dan dijangka meningkat kepada 70% menjelang akhir RMK13, didorong oleh kebolehpasaran tinggi dan gaji menarik khususnya bagi pelajar luar bandar.
- Graduan TVET mencatatkan kadar kebolehpasaran sehingga 100%, dengan gaji permulaan sekitar RM2,500 bagi pemegang SKM Tahap 3, melebihi gaji minimum nasional.
- Kerajaan meningkatkan peruntukan TVET daripada RM6.8 bilion kepada RM7.9 bilion bagi memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal sebagai pemacu utama tenaga kerja belia.
"Ini bermaksud kita telah melakukan game changer dalam mengubah ekosistem pendidikan, beralih daripada laluan konvensional yang menekankan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebelum melanjutkan pengajian ke universiti," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada program Chit Chat MADANI anjuran Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (Backbenchers Club-BBC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi di Bangunan Parlimen, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Kebangsaan berkata kadar kebolehpasaran graduan bagi institusi TVET di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), adalah lebih tinggi iaitu 98.7 peratus, manakala Akademi Binaan Malaysia di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mencatatkan 100 peratus.
"Walaupun gaji minimum nasional ialah RM1,700, graduan yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 TVET menerima gaji premium sekitar RM2,500. Sebab itu kerajaan memberi perhatian terhadap TVET, dan keutamaannya adalah kepada pelajar luar bandar," katanya.
Beliau menambah, kerajaan akan terus menjadikan TVET sebagai antara bidang utama yang akan memacu transformasi ekosistem tenaga kerja belia di Malaysia.
"Apabila saya diberi kepercayaan untuk mempengerusikan Majlis TVET Kebangsaan, peruntukan ketika itu yang diagihkan di bawah 12 kementerian yang menguruskan TVET berjumlah RM6.8 bilion.
"Setahun kemudian, jumlah itu meningkat kepada RM7.5 bilion, dan tahun depan seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia akan naik lagi kepada RM7.9 bilion. Ini menunjukkan kerajaan memberi perhatian serius terhadap pembangunan TVET," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


