KUALA LUMPUR: Kemasukan United Kingdom (UK) ke dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) membuka peluang kepada Malaysia untuk menjadi hab dan pelantar pelancar digital untuk Asia Tenggara, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, slogan 'Malaysia Truly Asia' boleh diposisikan semula sebagai 'Malaysia through to Asia' dalam dunia digital dengan dasar baharu negara, seiring dengan pentadbiran baharunya, kestabilan politik dan potensi untuk pertumbuhan ekonomi.

"Jika kami berupaya untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi sektor teknologi dan mengubah Malaysia sepenuhnya kepada sebuah hab serantau, bukan hanya sebagai sebuah pusat data tetapi untuk syarikat teknologi juga, kami akan membolehkan Malaysia merasai pengalaman dekad keemasan digital dan insya-ALLAH Malaysia akan muncul sebagai harimau digital ASEAN,” kata beliau semasa Majlis Makan Tengah Hari Perangkaian Kementerian dengan Pusat Data dan Industri Awan di sini hari ini.

Fahmi berkata, UK ialah sebuah negara yang memfokuskan inovasi dan menjadi negara peneraju ketiga di dunia dalam inovasi selepas Amerika Syarikat dan China.

Dilaporkan bahawa UK adalah negara pertama Eropah yang mempunyai wawasan dan komitmen untuk menyertai CPTPP.

Semasa majlis makan tengah hari itu, kira-kira 19 syarikat di bawah Pusat Data dan Industri Awan dianugerahkan status Digital Malaysia (MD) sejak pelancaran inisiatif strategik negara dengan jumlah pelaburan mencecah RM59.34 bilion dan mewujudkan 952 pekerjaan.

Fahmi juga menyampaikan sijil status MD kepada enam syarikat yang telah membuat komitmen pelaburan berjumlah lebih daripada RM12 bilion, iaitu Amazon Web Services (AWS), AirTrunk, Equinix, EdgeConneX, K2 Data Centres dan Infinaxis Data Center Holdings.

Sementara itu, empat syarikat tempatan juga mendapat penghargaan atas sumbangan mereka kepada pusat data, industri awan dan pembangunan ekosistem, iaitu AIMS Data Centre, HeiTech Managed Services (HMS), CSF Advisers and Exabytes.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz turut hadir di majlis itu.

- BERNAMA