MALAYSIA

Penyitaan akaun bank Bersatu ada kaitan dengan isu prosiding jenayah Muhyiddin - SFC

Bernama 15/12/2025 | 13:13 MYT
SFC berkata, perintah penyitaan masih belum luput dan kekal berkuat kuasa sehingga keputusan muktamad dalam kes jenayah Muhyiddin diputuskan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini bahawa isu utama dalam permohonan semakan kehakiman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung pembekuan dan penyitaan dua akaun bank parti itu adalah selari dengan isu dalam prosiding jenayah yang melibatkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Nurhafizza Azizan yang mewakili kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika membalas hujahan peguam Bersatu berkata perkara itu sewajarnya perlu diputuskan oleh mahkamah jenayah.

"Tuduhan terhadap Muhyiddin dibawa atas kapasiti beliau sebagai Presiden Bersatu, justeru wujud hubungan jelas antara kedua-duanya. Oleh itu, perkara terbabit sepatutnya ditangani di mahkamah jenayah, bukannya melalui prosiding semakan kehakiman.

"Perintah penyitaan masih belum luput dan kekal berkuat kuasa sehingga keputusan muktamad dalam kes jenayah Muhyiddin diputuskan," katanya.

Terdahulu, peguam parti itu Rosli Dahlan berhujah bahawa dua akaun bank parti berkenaan, yang dibekukan dan kemudiannya disita pada 2023, masih tidak dapat diakses hingga kini.

"Perintah pembekuan hanya berkuat kuasa selama tiga bulan, bagaimanapun Bersatu masih tidak dapat mengakses akaun CIMB dan AmBank," katanya dan menambah Muhyiddin didakwa atas kesalahan jenayah, bukannya parti itu sendiri.

Pendengaran di depan Hakim Datuk Aliza Sulaiman itu ditetapkan bersambung pada 3 Feb tahun depan.

Pada 30 Okt 2023, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan semakan kehakiman Bersatu untuk mencabar tindakan SPRM menyita dua akaun parti itu untuk tujuan siasatan.

Pada 29 Mei 2023, Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya sebagai pegawai awam Bersatu memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman terbabit.

Beliau menamakan Peguam Negara (ketika itu) Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki masing-masing sebagai responden pertama dan kedua serta 20 individu lain sebagai responden ketiga hingga ke-22.

Bersatu mendakwa pada 19 April 2023, akaun bank CIMB dan AmBank disita tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan mengikut Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Parti berkenaan mendakwa SPRM mengeluarkan kenyataan pada 20 April 2023 bahawa dua akaun bank itu disita pada 11 April 2023, namun pihaknya tidak pernah dimaklumkan tentang perkara itu pada tarikh terbabit.

-- BERNAMA

#Mahkamah Tinggi #prosiding jenayah #Muhyiddin Yassin #pembekuan akaun bank #Bersatu #SFC