MALAYSIA

Penyokong anjur solat hajat perdana, mohon keadilan buat Najib Razak

Astro Awani 17/01/2026 | 14:35 MYT
Majlis berkenaan menjadi simbol solidariti dan harapan rakyat, khususnya penyokong UMNO dan BN, yang terus istiqamah mendoakan kesejahteraan, kekuatan dan keadilan buat Najib. - Foto Team Najib
KUALA LUMPUR: Satu Majlis Solat Hajat Perdana Demi Najib 3.0 telah dianjurkan pada malam ini sebagai usaha kerohanian rakyat memohon keadilan serta rahmat Allah SWT buat Datuk Seri Najib Tun Razak.


Ringkasan AI
  • Majlis Solat Hajat Perdana Demi Najib 3.0 diadakan sebagai usaha rakyat memohon keadilan dan rahmat Allah SWT buat Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • Majlis tersebut menunjukkan solidariti dan harapan rakyat, terutama penyokong UMNO dan BN, yang terus mendoakan kesejahteraan dan keadilan bagi bekas Perdana Menteri itu.
  • Penceramah dalam majlis menyatakan bahawa Najib masih menggunakan saluran perundangan sah untuk mencari keadilan dan menekankan prinsip perbicaraan adil serta kedaulatan undang-undang.


Menurut kenyataan, majlis berkenaan menjadi simbol solidariti dan harapan rakyat, khususnya penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN), yang terus istiqamah mendoakan kesejahteraan, kekuatan dan keadilan buat bekas Perdana Menteri itu selaras dengan prinsip keadilan Islam dan kedaulatan undang-undang negara.

Selain solat hajat, majlis berkenaan menampilkan empat penceramah jemputan yang menyampaikan ucapan serta tausiyah berkaitan sumbangan dan peranan signifikan Najib dalam landskap politik negara, termasuk jasa beliau dalam memperkukuh UMNO dan BN ketika menerajui kerajaan.

Salah seorang penceramah, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud berkata Najib wajar diberikan ruang sewajarnya untuk bersama kepimpinan serta akar umbi UMNO dan BN, khususnya dalam mendepani cabaran politik semasa termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

"Najib merupakan aset strategik dan ramuan terbaik kepada kebangkitan semula UMNO dan BN. Pengalaman luas, kepimpinan berwibawa serta pengaruh beliau terbukti mampu menyatukan parti dan mengembalikan keyakinan pengundi," katanya, dalam kenyataan sama.

Beliau turut berpandangan bahawa bekas Ahli Parlimen Pekan itu kekal sebagai figura utama UMNO dan BN, yang berupaya menarik sokongan akar umbi serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap hala tuju parti.

Selain Mohd Syafiq, tiga lagi penceramah ialah Yuktes Vijay, Zee How Tai dan Ustaz Mohd Shukri Samsudin.

Dalam masa sama, kesemua penceramah sepakat bahawa Najib masih menggunakan saluran perundangan yang sah untuk mendapatkan keadilan, termasuk mengemukakan representasi dan permohonan semakan mengikut peruntukan undang-undang yang dibenarkan.

"Tuntutan keadilan ini bukan bertujuan mencabar institusi kehakiman, sebaliknya menekankan kepentingan prinsip perbicaraan adil, ihsan dan kebijaksanaan dalam pelaksanaan hukuman, selaras dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang," kata mereka.

Pada 25 Disember lalu, Najib didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Beliau memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua 25 pertuduhan terhadap Najib melampaui keraguan munasabah.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu berlangsung selama tujuh tahun, menarik perhatian antarabangsa, melibatkan 50 saksi dan sembilan hari hujahan lisan pada peringkat pendakwaan.

Najib kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang berhubung kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.



#Najib Razak #kes 1MDB #Solat hajat untuk Najib Razak #kes SRC International