Skip to main content

Malaysia

Penyu belimbing kembali mendarat di perairan Terengganu

Penyubelimbing kredit: FB Jabatan Perikanan Terengganu
Sejumlah 44 biji telur penyu yang ditemui di lokasi tersebut telah selamat dialihkan ke pusat penetasan di Rantau Abang, dan dijangka menetas dalam tempoh tujuh hingga sembilan minggu lagi. - Facebook Jabatan Perikanan Terengganu
Advertisement

KUALA TERENGGANU: Spesies penyu terancam iaitu penyu belimbing dilaporkan kembali mendarat di perairan negeri ini semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Pang Nyukang berkata kemunculan spesies penyu terbesar di dunia itu dikesan melalui analisis penemuan jejak merangkak fizikal bersaiz 2.1 meter lebar di atas pasir serta sarang dengan telur penyu bersaiz anggaran 52 milimeter di pesisir Pantai Marang.

Beliau berkata 44 biji telur penyu yang ditemui di lokasi tersebut telah selamat dialihkan ke pusat penetasan di Rantau Abang, dan dijangka menetas dalam tempoh tujuh hingga sembilan minggu lagi.

"Kemunculan semula ‘raja penyu’ ini dilaporkan oleh kakitangan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu. Kali terakhir spesies penyu terbesar itu mendarat di perairan Terengganu ialah pada 2017.

"Penemuan semula penyu belimbing memberi harapan baharu kepada generasi akan datang untuk  menyaksikan kewujudan haiwan purba ini. Ia juga membuktikan bahawa pantai Terengganu kekal sebagai habitat selamat dan destinasi pendaratan pilihan haiwan gergasi ini," katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook rasmi Jabatan Perikanan Negeri Terengganu hari ini.

Sehubungan itu, Pang berkata orang ramai perlu bekerjasama menjaga kebersihan pantai dan laut demi kelangsungan spesies warisan yang amat berharga itu.

"Ini adalah peringatan buat kita semua agar sama-sama menjaga dan melestarikan khazanah alam. Marilah kita sama-sama berdoa agar kesemua telur penyu yang ditemui dapat menetas dan anak- anak penyu dapat berenang kembali ke lautan dengan selamat," katanya.          

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement