KUALA NERUS: Kerajaan Negeri Terengganu meminta pengusaha pelancongan dan pemilik premis perniagaan di jajaran Pantai Rantau Abang mengurangkan pencahayaan bagi mengelak gangguan terhadap penyu belimbing yang dijangka mendarat musim ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata kemunculan semula penyu belimbing di Pantai Pasir Putih, Marang beberapa hari lepas memberi sinar baharu kepada usaha konservasi dan sektor pelancongan.
Beliau berkata berdasarkan pengalaman serta petua orang dahulu, spesies penyu terbesar di dunia yang hampir pupus itu akan naik bertelur sebanyak tiga kali bagi semusim di lokasi sama.
"Semalam saya mengambil kesempatan melawat pusat penetasan penyu di Rantau Abang untuk melihat serta memberi sedikit pesanan kepada pengusaha pelancongan dan penduduk agar menjaga pencahayaan serta mengurangkan aktiviti di jajaran Pantai Rantau Abang pada musim penyu bertelur. Pantai Pasir Putih masih dalam jajaran pantai berkenaan.
"Mengikut pengalaman orang lama, haiwan ini akan naik ke lokasi sama sebanyak tiga kali bagi semusim. Jadi ada dua kali lagi sebelum habis musim (penyu mendarat) pada November ini," katanya selepas Majlis Pelepasan Program Terengganu Merdeka Challenger di Bandar Baru Kuala Nerus hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu Datuk Tengku Mohd Ariffin Tengku A.Rahman.
Selain itu, beliau turut mengingatkan nelayan berhati-hati ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan bagi mengelakkan kejadian penyu mati akibat terperangkap dalam pukat.
Beliau berkata pada masa sama usaha menjaga kebersihan serta kelestarian pantai perlu ditingkatkan bagi menarik semula kehadiran penyu belimbing ke Rantau Abang, sekali gus menghidupkan kembali lokasi itu sebagai kawasan tumpuan.
"Pada era 80-an Rantau Abang memang popular sebagai kawasan pendaratan penyu belimbing. Tetapi kita terlalu rakus dengan mengadakan pesta, pencahayaan berlebihan, naik atas belakang penyu sehingga menyebabkan haiwan itu hampir pupus.
"Dengan peluang yang ada ini, kita nak jaga betul-betul dan kembalikan kemeriahan Rantau Abang tetapi dengan kawalan ketat dan lebih mesra alam," katanya.
-- BERNAMA