KUCHING: Kementerian Kesihatan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM3 juta dengan segera kepada kerajaan negeri Sarawak bagi tujuan penyumberluaran pesakit bukan COVID-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata jumlah itu adalah tambahan kepada peruntukan RM5 juta dimana RM4.6 juta daripadanya telah dibelanjakan.

"Ini adalah untuk prosedur seperti pembedahan yang terpaksa ditangguhkan dan sekarang kita (KKM) mahu menghantar ke hospital swasta," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan kerajaan Persekutuan akan menghantar 20 ventilator atau mesin bantuan pernafasan dan 30 buah ambulans ke Sarawak dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, Kementerian Kesihatan akan memperhebatkan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) maya di bandar-bandar besar di Sarawak seperti Bintulu, Kuching dan Sibu yang mempunyai capaian internet yang luas.


COVID-19 | KKM tambah dana RM3 juta untuk Sarawak

Menurutnya, mereka yang disahkan positif atau kontak rapat akan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital tanpa memerlukan mereka memakai gelang merah muda.

"Jangan kerana tidak memakai gelang pink, ingat boleh langgar HSO. Kita tahu siapa yang daftar masuk apabila status (MySejahtera) mereka merah. Kita akan bagi tahu polis," tegasnya.

[TERKINI] Sidang Media Menteri Kesihatan di Sarawak | 26 Sept 2021


Sementara itu, Khairy memaklumkan, sebanyak 64 pegawai perubatan akan dihantar ke Sarawak pada minggu depan.

"Kita telah pun menghantar 118 unit ventilator dan 1,008 silinder oksigen yang akan sampai pada Selasa ini oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Kita juga akan menambah modular ICU, setakat ini sudah ada 10 modular ICU dengan akan ada tambahan 20 katil lagi di Hospital Sibu," jelasnya.

Menurutnya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menubuhkan satu lagi hospital medan di Sibu sebagai memenuhi permintaan kerajaan negeri.