Peperiksaan sekolah agama di Johor ditangguh bagi sekolah terjejas banjir, jadi PPS

Bernama
Januari 7, 2024 21:30 MYT
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) menurunkan bot untuk membantu memindahkan penduduk Kampung Batu 20 dan Kampung Bukit Dagang, Sungai Tiram. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Peperiksaan Penggal Kedua bagi Tahap 1 dan 2 Sekolah Agama Kerajaan Johor ditangguhkan bagi sekolah yang terjejas banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid menerusi Facebook rasmi beliau malam tadi berkata peperiksaan itu yang bermula 3 Jan lepas, dijadualkan berlangsung hingga 18 Jan ini.
"Walau bagaimanapun berikutan bencana banjir, sekolah yang terlibat sama ada mengalami banjir atau dibuka sebagai PPS, peperiksaan tersebut ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan oleh pihak Ibu Pejabat Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Johor," katanya.
Setakat 10 malam ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 3,744 orang berbanding 3,322 orang yang direkodkan pada 9 malam.
Sebanyak 45 PPS dibuka di enam daerah yang terjejas dengan Kota Tinggi mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 1,871 orang daripada 492 keluarga.
-- BERNAMA
#peperiksaan sekolah agama #ditangguh #banjir johor #PPS #Peperiksaan Penggal Kedua