MALAYSIA

Peperiksaan STAM 2025 bermula 12 hingga 24 Nov libatkan 4,443 calon - KPM

Bernama 05/11/2025 | 10:30 MYT
Jadual waktu peperiksaan STAM 2025 boleh dimuat turun melalui portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) di pautan lp.moe.gov.my. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 akan berlangsung dari 12 hingga 24 Nov ini melibatkan seramai 4,443 calon di seluruh negara, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).


Ringkasan AI
  • Peperiksaan STAM 2025 dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 24 Nov dengan 4,443 calon di seluruh negara dilibatkan, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).
  • KPM menekankan kepentingan calon merujuk jadual waktu peperiksaan, membawa dokumen pengenalan diri, dan mematuhi prosedur keselamatan serta peraturan semasa menjalani peperiksaan.
  • Kementerian turut memastikan kesiapsiagaan dan kerjasama dengan agensi berkaitan untuk memastikan kelancaran dan keselamatan peperiksaan STAM 2025.


Dalam kenyataan hari ini, KPM memaklumkan peperiksaan berkenaan akan dijalankan di 135 pusat peperiksaan dengan seramai 852 petugas dilantik bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar.

KPM menasihatkan semua calon supaya merujuk jadual waktu peperiksaan STAM 2025 bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod serta nama kertas peperiksaan, selain mematuhi semua arahan yang ditetapkan.

Jadual waktu peperiksaan STAM 2025 boleh dimuat turun melalui portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) di pautan lp.moe.gov.my.

KPM turut mengingatkan calon supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan serta mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan bagi memastikan kelancaran peperiksaan.

Menurut KPM, pihaknya sentiasa cakna terhadap keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana dan penularan penyakit berjangkit Influenza-Like Illness (ILI) sepanjang peperiksaan STAM 2025 berlangsung.

Kementerian itu memaklumkan langkah kesiapsiagaan dan mekanisme tindakan sewajarnya telah disediakan termasuk kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan peperiksaan dapat berjalan dengan lancar dan teratur.

KPM menasihatkan calon yang terkesan akibat bencana supaya segera memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing, atau menghubungi bilik gerakan LP atau JPN.

-- BERNAMA






#Sijil Tinggi Agama Malaysia #STAM 2025 #Kementerian Pendidikan #peperiksaan #terkini